Terkini !!! Muhyiddin serah kepada kebijaksanaan YDP Agong

Terkini !!! Muhyiddin serah kepada kebijaksanaan YDP Agong

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya pada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyerahkan kepada Baginda berhubung tindakan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen sokongan yang dikatakan memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Jelas Muhyiddin, Baginda merupakan seorang yang bijaksana dan memahami peranan serta perlembagaan dan akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat.

“Kalau saya nak jelaskan sikit soal tindakan itu… bahawa saya tidak mengikuti perkara itu. Saya serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. Tuanku adalah seorang yang bijaksana dan faham dari sudut peranan Baginda. Peruntukan dalam perlembagaan adalah dalam kuasa penuh Yang di-Pertuan Agong.

“Maka kita perlu berikan kepercayaan kepada Baginda (untuk) memutuskan apa yang patut diputuskan. Tetapi saya tidak mahu meneliti soal itu. Keutamaan saya (adalah) menguruskan negara.

Saya masih di sini sebagai Perdana Menteri, tugas dan amanah saya mesti dilaksanakan. Keutamaan saya sekarang menguruskan masalah COVID-19 dan ekonomi negara,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Langsung di laman Facebooknya ketika mengulas mengenai tindakan Presiden PKR itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada Selasa.
Anwar dalam satu sidang media, beberapa jam selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong memaklumkan, beliau telah mempersembahkan dokumen tentang majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya untuk mengambil alih kerajaan.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin petang tadi menjelaskan Anwar hanya mengemukakan jumlah sokongan tanpa senarai nama bagi menyokong dakwaannya itu.
Justeru, Al-Sultan Abdullah menasihatkan Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.