Terlibat dalam aktiviti kartel jadi punca harga barang naik, 100 syarikat didenda

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Sekitar 100 perusahaan yang terlibat dalam aktiviti kartel harga, pasaran, pengeluaran, dan tipuan bida, yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup,

telah dikenakan penalti dengan jumlah keseluruhan mencecah RM570 juta sejak penubuhan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada 2011 hingga kini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sehingga kini terdapat 18 kes siasatan yang masih berjalan, termasuk 14 kes melibatkan tipuan bida.

“Bagi kita, kes tipuan bida adalah sangat penting untuk disiasat kerana ia merupakan satu bentuk sabotaj kepada agenda kerajaan.

Di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya perolehan kerajaan melalui tender terbuka.

Terlibat dalam aktiviti kartel jadi punca harga barang naik, 100 syarikat didenda

Namun, apabila terdapat tipuan bidaan atau pakatan syarikat tertentu dalam tender terbuka, ia merosakkan objektif asal tender tersebut,” katanya dalam sesi soal jawab Town Hall Rakyat yang dianjurkan oleh Sinar Harian pada Jumaat lalu.

Armizan turut merasmikan Karnival Rakyat Karangkraf yang berlangsung sehingga Ahad ini. Town Hall Rakyat, yang dihoskan oleh pelakon Fikri Ibrahim, merupakan platform interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya pelbagai isu kepada pemimpin yang diundang.

Beliau menjelaskan bahawa kementerian sedang mengkaji pindaan akta persaingan dengan menambah satu elemen baharu yang dijangka dilaksanakan tahun ini.

“Kami sedang meminda akta persaingan untuk menambah satu elemen penting iaitu rejim penggabungan.

Ada perusahaan yang melaksanakan pengambilalihan atau penggabungan dengan tujuan monopoli tidak sihat, yang boleh memberi kesan kepada harga pengguna.

Ini adalah elemen penting yang mungkin belum banyak diketahui, tetapi undang-undang berkaitan persaingan adalah mekanisme penting yang digunakan kerajaan untuk melindungi pasaran dan pengguna,” tambahnya.

Armizan juga menyatakan bahawa ketangkasan penguatkuasaan adalah salah satu daripada empat hala tuju utama KPDN dalam menangani isu kos sara hidup. Tiga lagi fokus adalah pemacu ekonomi domestik, daya upaya pengguna, dan peranan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol).

“Kementerian KPDN unik kerana ia bukan hanya berkaitan dengan elemen ekonomi tetapi juga kepenggunaan. Walaupun kementerian kita tidak besar dan hanya mempunyai tiga agensi, tanggungjawab kita sangat besar dan dekat dengan rakyat,” katanya.

Armizan mengakui cabaran KPDN semakin besar selepas Kerajaan Madani menjadikan kos sara hidup sebagai fokus utama kementerian tersebut. “Harapan rakyat juga meningkat.

Saya pernah bertanya kenapa kos sara hidup dipilih, dan jawapan yang diterima adalah kerana ia adalah isu yang tidak dapat dielakkan,” ujarnya.

Beliau juga mengakui tidak pernah menjangka akan dipilih menerajui KPDN menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Saya tidak pernah menjangka kerana saya baru menjadi ahli Parlimen dalam penggal pertama. Namun, saya wakil tunggal Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Kabinet,” katanya.

BACA: 10 passport paling ‘power’ di dunia, kedudukan Malaysia buat ramai bangga