Tiada bazar Ramadan di Kelantan tahun ini

Tiada bazar Ramadan di Kelantan tahun ini

Berdasarkan keadaan semasa krisis Covid-19, bazar Ramadan di seluruh Kelantan untuk tahun ini mungkin dibatalkan, kata Menteri Besar Ahmad Yakob.

Bagaimanapun beliau berkata perkara itu akan terus dibincangkan oleh kerajaan negeri.

“Berdasarkan situasi semasa bazar Ramadan mungkin tidak ada.

“Sebab kalau diteruskan ia boleh menjadi tempat orang ramai berkumpul. Tunggulah keadaan nanti kita akan bincang lagi,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kita Bharu, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Takiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan persekutuan pada mesyuarat tersebut.

Sementara itu mengulas usaha membendung penularan wabak itu, beliau berkata kerajaan negeri antaranya membuat pembersihan di pasar-pasar awam.

Selain itu, Ahmad turut menyeru supaya rakyat di negeri itu mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan.

“Kerajaan negeri akan meningkatkan usaha aspek pembersihan khususnya di pasar-pasar basah,” katanya lagi.

Ramadan pada tahun ini dijangka bermula pada 23 April.

 

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/517498?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR3gFdtPNd7-64ybKtQprUV8AR9PuNxW9aNcV4oXbOh-akq9-SGp8n952XE