Tiada Kes Baharu Covid-19 di Wuhan


BUAT pertama kalinya, tiada kes baharu dicatatkan di Wilayah Hubei yang menjadi pusat penularan wabak Covid-19 pada Khamis.

Lapor South China Morning Post (SCMP), buat pertama kalinya juga di seluruh China, tiada kes baharu membabitkan jangkitan dalam negara atau domestik.

Hanya 34 kes baharu dijangkiti dari luar negara dilaporkan.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, sebanyak 70,420 daripada 80,928 individu yang positif COVID-19 dilaporkan pulih sepenuhnya.

Jumlah kematian pula mencatatkan penurunan dari hari ke hari dengan lapan kematian dicatatkan pada Khamis.

Jumlah kematian terkini di China adalah sebanyak 3,245.

Walaubagaimanapun, ramai mempersoalkan ketepatan data yang dikeluarkan China yang menyebabkan kekeliruan kerana kerap menukar kriteria diagnosis.

Pengamal perubatan di China dan luar negara turut mempersoal sama ada Beijing menyembunyikan epidemik pada peringkat permulaan, selepas kes pertama dilaporkan pada November, namun hanya menyedarinya pada penghujung Disember.