Tiada usul undi percaya MB Johor, tapi usul tergempar boleh dibuat – Speaker

Tiada usul undi percaya MB Johor, tapi usul tergempar boleh dibuat – Speaker

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat berkata, pejabatnya belum mendapat usul keyakinan untuk menguji sokongan Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad di DUN Johor.

Untuk rekod, sidang DUN Johor bagi tahun ini akan tamat esok.

“Tidak ada,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya apakah ada usul keyakinan yang disampaikan kepadanya di tengah spekulasi bahawa Bersatu mungkin ingin membalas dendam setelah Umno menggulingkan menteri besar Bersatu di Perak melalui undi keyakinan semalam.

Ketika ditanya apakah usul itu dapat diajukan sebagai usul tergempar, Suhaizan mengakui ia boleh dilakukan.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu semalam digulingkan sebagai menteri besar Perak setelah Umno memulakan undi keyakinan terhadapnya.

Hanya 10 Adun yang menyokong Faizal, sementara 48 memilih menentangnya, termasuk 24 daripada 25 Adun Umno negeri itu.

Usul tersebut dikemukakan pada 18 November dan dibahaskan dalam sidang DUN Perak pada 4 Disember.

Susulan itu, Adun Kempas, Osman Sapian dari Bersatu mencadangkan agar Bersatu dapat menghukum Umno dengan melakukan perkara yang sama terhadap menteri besar Johor.

Usul biasanya memerlukan notis sebelum diserahkan ke Dewan, membuat undi keyakinan melalui usul biasa tidak mungkin dilakukan pada saat-saat akhir ketika ini.

Satu-satunya cara adalah melalui usul tergempar.

Namun, hingga kini, tidak ada pihak yang menunjukkan niat serius untuk membawa usul itu.

Awal hari ini, Pakatan Harapan Johor mengatakan pihaknya sedang memantau keadaan dengan teliti.

PH tidak menunjukkan rancangan untuk membawa usul keyakinan tetapi sebaliknya meneliti tindakan Bersatu.

“PH Johor mempunyai 27 orang Adun yang merupakan jumlah yang signifikan jika ada usul yang dibentangkan di dewan Johor.

“PH Johor akan mempertimbangkan kepentingan dan kestabilan rakyat negeri ini apabila mempertimbangkan sebarang usul oleh Adun Bersatu,” kata ketua-ketua PH Johor.

Kerajaan negeri yang diterajui Hasni terdiri darioada dua gabungan, iaitu BN dan PN.

BN mempunyai 14 Adun dari Umno dan dua dari MIC sementara PN mempunyai 12 Adun dari Bersatu dan seorang dari PAS, menjadikan mereka seramai 29 orang.

PH pula mempunyai 27 Adun yang terdiri daripada 14 dari DAP, sembilan dari Amanah dan empat dari PKR.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/553942