Tiap kali bergaduh antara parti-parti PN, Dap disalahkan – Adun Dap

Tiap kali bergaduh antara parti-parti PN, Dap disalahkan – Adun Dap

Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa masih menjadikan DAP alasan kelemahan pentadbiran kerajaan.

Kenyataan itu hadir selepas kenyataan Annuar yang memberikan tiga sebab Umno perlu menolak DAP seperti yang dilaporkan muka hadapan Sinchew Daily, semalam.

“Tindakan parti yang menunggang nama Melayu ini sangat melucukan. Selepas ‘Langkah Shareton’, parti DAP sudah bukan lagi sebahagian dari kerajaan.

“Tetapi tiap kali berlaku pergaduhan antara parti-parti Perikatan Nasional (PN) ini, setiap kali itu jugalah nama DAP diperalatkan.

“Ini gambaran bahawa mereka sangat lemah. Kononnya hebat, tetapi terpaksa bersandar pada DAP untuk dijadikan ‘punching bag’ bagi menutup kelemahan pentadbiran mahupun perbalahan dalaman.

“Apatah lagi dalam keadaan kerajaan yang ditadbir tanpa majoriti ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Annuar yang merupakan ahli parlimen Ketereh baru-baru ini dipecat dan dari jawatan setiausaha agung BN.

Dia merpakan antara pemimpin Umno yang menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan DAP dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Annuar menggesa Umno untuk kekal sebagai parti yang memperjuangkan perpaduan parti Melayu dan Islam dan menangani perselisihan parti mereka dengan Bersatu.

Sementara itu, Sheikh Omar yang juga Adun Paloh dalam kenyataan sama menambah bahawa pemimpin dan petugas akar umbi DAP sedang sibuk berkhidmat untuk rakyat pada masa kritikal ini.

Jelasnya, rakyat terpaksa berhadapan dengan banjir, Covid-19 dan tekanan ekonomi.

“Fokus DAP ketika ini ialah untuk istiqamah membantu rakyat dan membantu golongan kurang bernasib baik.

“Bukan mencari pihak ketiga untuk dipersalahkan, bagi menutup kelemahan diri sendiri,” katanya. –MK