Assalamualaikum semua pembaca, aku menulis sekadar luahan dan coretan. Imaginur, movie ni aku pergi tengok dengan bestie aku.
Dalam 4 5 orang kami tengok sesama. Semua perempuan.
Awal cerita kami semua dok gelak-gelak dah kenapa asyik ulang-ulang. Sakit otak dibuatnya.
Haha. Tapi bila sampai part hujung tu, aku dapat perasaan tu, sampai. Dan aku menangis.
Bestie aku pun sama nangis meleleh air mata. Diorang menangis sedih storyline tu.
Aku menangis sebab aku dapat relate dengan watak dalam cerita tu. Ada seseorang yang aku harap aku faham dia waktu tu. Kalaulah aku dapat ulang balik waktu.
Sebenarnya ayah aku penghidap Alzheimer. Tetiba ja ayah dapat penyakit tu. Ayah lupa ingatan tu sampai ayah tak boleh nak bercakap akhirnya. Dia tak ingat perkataan-perkataan yang harian pun. Aku tak tahu simptom ni memang semua pesakit alami atau macam mana. Tapi ayah aku macam tu.
Macam aku kata tadi tiba-tiba je, banyak kejadian sebenarnya simptom yang kami sekeluarga dok sama-sama bercerita, bila ingat balik baru perasan yaa betul la. Patut la gini, patut la gitu.
Ada beberapa kejadian sebelum ayah aku disahkan Alzheimer. Masa raya, kami nak ambil gambar raya, tapi ayah lepas solat raya terus masuk bilik. Start hari raya pertama ni ayah dah start kurang bercakap.
Ayah aku ni peramah sangat orangnya. Ada sekali tu ayah nak hantar adik aku pergi stesen bas sebab adik aku nak balik kolej dia. Ayah aku boleh tak tau jalan nak hala ke stesen bas tu. Walhal tak sampai 3km dari rumah aku.
Masa tu mak aku ikut sama. Mak aku tunjukkan jalan. Ayah masih tau cara nk drive cuma dia tak ingat jalan.
Lepas hantar adik aku, diorang pergi makan kat kedai makan, masa ni ayah aku diam tak tau nak order apa, mak aku yang orderkan. Bila makanan sampai, ayah aku tenung ja makanan tu, tak sentuh. Mak aku pun ambil la sudu garfu bagi ayah aku suruh ayah aku makan.
Masa ni mak memang rasa lain dah, pelik tapi taknak fikir lain, mak aku ingat ayah penat atau dia tak berapa sihat mungkin.
Ada satu hari, jiran merangkap kawan kepada ayah. Masa ni ayah aku dah sakit. Pakcik tu cerita dia terserempak ayah dekat kedai depan taman, ayah masuk kedai alat tulis tapi tak beli apa-apa. Ayah keluar masuk kedai runcit pula. Lepas tu kayuh basikal balik.
Mak aku pun teringat masa ni ayah aku silap beli barang. Mak pesan beli santan kotak, punya la lama ayah keluar tak balik-balik. Rupanya ayah tak ingat apa yang mak pesan, ayah beli santan serbuk tu.
Tak pernah seumur hidup mak aku guna santan tu. Memang pelik mak aku memikirkan tiber pulak santan serbuk.
Masa ni aku baru semester satu di universiti. Masa daftar je ayah aku hantarkan dengan mak. Lepas ayah sakit ayah dah tak dibenarkan bawa kereta dan naik basikal lagi.
Ayah suka naik basikal kemana-mana, masjid, kedai kadang saja ronda pusing-pusing. Basikal pun dah kena sorok. Risau ayah keluar tak ingat jalan balik.
Ada sekali tu masa aku nak balik uni, aku salam ayah. Ayah masa ni tak banyak cakap. Yang penting ja dia cakap. Aku rasa sebab kosa kata yang ayah ingat dah makin kurang dalam ingatan ayah. Ayah tanya ada duit, aku jawab takda.
Ayah masuk dalam bilik dia keluarkan semua duit yang ada dalam wallet dia, depan aku ni. Sekali duit seringgit-seringgit dia bagi kat aku, kosong terus wallet dia, syiling ja dia tak bagi. Haha.
Aku sauk ja la kan dah ayah bagi. Selalu RM100 ja ayah bagi untuk seminggu. Ni ada dalam RM400 lebih sekali seringgit-seringgit tu. Mata duitan katakan. Jarang-jarang ayah nak bagi banyak. Elok aku sampai hostel, mak telefon.
Mak tanya tadi ayah ada bagi duit belanja tak. Aku jawab la ada. Semua duit yang ada ayah bagi aku cerita. Mak aku mengucap panjang, mak aku cakap tu duit ayah baru keluarkan dari bank. Sekali mak takda duit nak belanja. Dah kenapa pergi ambil semua. Hahahaha.
Aku baru ingat rezeki bulan jatuh ke riba. Haduihh. Mak pesan nanti pulangkan balik. Guna 100 je.
Sekali lagi aku balik pulak, Doc dah sahkan. Ayah Alzheimer. Masa kat klinik doc tanya ayah breakfast apa, ayah cakap belum makan. Padahal dah makan. Doc tanya anak berapa orang cucu berapa. Ayah jawab semua salah.
Makin lama ayah makin macam budak kecik, sampai ayah tak boleh nak bercakap. Macam baby. Semua mak kena uruskan. Kebetulan adik aku masa tu dah habis belajar so dia yang bantu uruskan ayah.
Ayah aku ni orang masjid, masa dia sakit ramai la yang datang ziarah. Sorang pun dia tak kenal. Yang datang ziarah mak akan tanya ayah ada hutang apa-apa tak. Sebelum ayah lupa totally tu, mak ada minta ayah tulis kawan-kawan ayah yang mungkin ayah ada hutang duit.
So mak panggil semua kawan ayah datang rumah dan langsaikan semua hutang yang ada. Masa ayah masih boleh cakap. Nampak ayah struggle nak cari perkataan untuk dia sebut. Lama dia idle.
Ada benda yang aku rasa jahat sangat kat ayah. Masa tu ayah dah takleh cakap tapi dia tau bila masuk waktu solat, ayah suruh aku solat masa tu dah masuk maghrib. Dia bunyi la macam urgh urgh, sambil tunjuk suruh ambil wuduk solat.
Tapi masa tu aku macam marah juga kat ayah paksa aku cepat solat. Pernah ayah teringin tengok aku makan nasi kandar, ayah minta sikit, dia tenung ja aku makan. Ayah kan takleh cakap.
Aku tak bagi sesuap pun. Aku cakap tak boleh, pedas. Sebenarnya ayah takleh makan pedas masa dia start sakit. Macam baby kan.
Ayah walaupun dia ingat-ingat lupa dia masih nak solat. Dan ayah pernah nangis sebab dia tak ingat tertib berwuduk tu dan solat, mungkin ayah stress sebab nak solat tapi tak ingat. Mak yang tunjukkan satu-satu.
Ayah sakit tu tak lama. Seingat aku tak lebih dari 4 bulan. Hujung-hujung usia ayah, ayah kerap tenung muka kami sorang-sorang. Diam membisu. Berkaca mata ayah. Mungkin ayah cuba nak ingat siapa kami seorang demi seorang.
Aku rasa ayah masih ada rasa dan boleh rasa perasaan tu, kasih dan sayang seorang ayah pada kami anak-anak, isteri dan cucu dia, tapi tak terluah sebab ingatan semua dah hilang. Sebab tu ayah mampu nangis dan senyum je.
Kalau sakit ayah nangis, lapar ayah cari mak. Ayah pun pakai pampers masa tu. Kalau kami gelak, ayah akan ikut gelak sama. Rindu pulak kat ayah bila aku menulis ni.
Mesti ayah struggle masa ayah sakit, nak cakap tapi tak ada perkataan yang ayah ingat. Nak luah jadi tak terluah. Masa tengok watak Dato Rahim Razali tu memang aku dapat bayang ayah masa sakit tu macam mana.
Kasihannya ayah. Memori dari kecil sampai ayah dah bersara ada cucu, kenangan indah, hilang sepenuhnya. Bila hilang semua tu, apa ja yang tinggal? Hidup pun macam takda makna.
Mak pun sama derita, bila tengok ayah langsung tak ingat kisah hidup mereka bersama. Mesti mak rindu ayah yang dulu. Aku harap benda ni tak jadi kat aku atau pasangan aku, aku tak dapat bayang sakit tu macam mana.
Aku pernah tanya ayah anak ayah berapa orang. Ayah jawab 3. Sebab yang 3 tu ja ayah selalu nampak di rumah. Kadang aku balik cuti ayah tanya aku ni siapa. Hmm. Aku ni macam chipsmore kejap ada kejap takda. So tak masuk dalam list. Huhu.
Sedih ya bila ayah sendiri tak ingat kita ni anaknya, tapi tak apa aku faham ayah sakit. Tapi sepanjang ayah sakit, tak pernah kami tanya, ayah tak ingat ke. Tak pernah. Kami taknak ayah struggle nak ingat. Macam paksa atau condemn ayah bila ayah tak mampu nak ingat.
Aku tak sempat nak jaga ayah betul-betul. Memang aku terkilan sangat.
Seminggu sebelum ayah dijemput Ilahi, dengan izin Allah, ayah boleh bercakap. Ayah tanya, “kakak ayah taknak datang jenguk ayah ke, ayah dah nak pergi dah ni.” mak sampaikan pesan ni dekat kakak ayah. Diorang datang ziarah, lepas 2 3 hari ayah dijemput Ilahi.
Sepanjang ayah sakit, mak tak pernah merungut jaga ayah. Masih lagi mak bergurau dengan ayah sama macam sebelum ayah sakit. Suka geletek ayah,usik ayah.
Sebab tu mak tak nangis langsung hari ayah meninggal sebab mak cakap mak puas jaga ayah. Takda yang mak rasa ralat. Mak aku memang hebat dan seorang isteri yang sangat penyayang.
Berbalik pada cerita Imaginur, aku rasa sangat brilliant storyline tu sebab dia boleh tunjuk pada kita apa yang penghidap Alzheimer ni lalui.
Maaf kalau penulisan aku boring. Sekadar ingin berkongsi rasa dan cerita.
Aku sebenarnya rindu nak panggil ‘ayah’. Dah 13 tahun aku hilang sosok yang aku panggil ayah.
– Bunga kubur (Bukan nama sebenar)
BACa: Patut ramai pengunjung, kedai makan di Shah Alam rupanya jadi tempat pembiakan tikus dan lipas