Tidak perlu dapatkan kebenaran polis jika rentas negeri antara zon hijau

Tidak perlu dapatkan kebenaran polis jika rentas negeri antara zon hijau

Bagi merancakkan semula pelancongan domestik, kerajaan hari ini bersetuju membenarkan perjalanan rentas daerah dan negeri, membabitkan negeri-negeri zon hijau mulai Ahad ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Yaakob berkata pergerakan rentas daerah dan negeri membabitkan negeri-negeri hijau itu, dibenarkan tanpa perlu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pergerakan rentas daerah/negeri dari negeri hijau ke daerah hijau di negeri merah, juga dibenarkan tetapi perlu mendapat kebenaran pihak PDRM,” katanya pada sidang media perkembangan PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelasnya, kelonggaran gelembung perjalanan domestik itu akan menggunakan aplikasi My Sejahtera, bagi menentukan seseorang itu datang dari zon hijau dan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (Motac) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) secara terperinci dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata sidang khas hari ini juga bersetuju supaya saringan kesihatan diwajibkan bagi semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, melalui kaedah RTK Antigen.

Ini jelasnya penting bagi mengurangkan risiko keberjangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka.

Beliau berkata sehingga 31 Okt lepas, terdapat seramai 1,615,834 pekerja asing aktif di negara ini dan negeri-negeri seperti yang dinyatakan di atas mempunyai banyak kawasan perindustrian serta bilangan pekerja asing yang ramai.

“Bagi pekerja warga asing yang mencarum Perkeso, kos ujian saringan ditanggung bersama pihak majikan dan Perkeso. Subsidi bagi ujian saringan RTK Antigen sebanyak RM60 boleh dituntut daripada Perkeso dan kos selebihnya dibayar oleh majikan.

“Bagi pekerja warga asing bukan pencarum Perkeso, kos ujian saringan Covid-19 ditanggung sepenuhnya oleh majikan,” katanya.

Ismail Sabri menarik perhatian, pelaksanaan ujian saringan kesihatan ke atas semua pekerja warga asing ini, adalah berdasarkan penilaian risiko yang telah dilaksanakan dengan risiko jangkitan pada pekerja asing adalah lebih tinggi, berbanding risiko jangkitan dalam kalangan pekerja tempatan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/551837

COMMENTS