Tiga episod ‘salah langkah’ Saifuddin – Fahmi

Tiga episod ‘salah langkah’ Saifuddin – Fahmi

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menuntut peletakan jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah yang menurutnya melakukan tiga episod ‘salah langkah’ termasuk berhubung ketetapan syarat pelesenan filem di bawah undang-undang.

Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai dalam satu kenyataan mengatakan bahawa penjelasan Saifuddin mengenai kenyataannya sebelum ini di Dewan Rakyat masih gagal menjawab persoalan utama yang ditimbulkan mengenai apakah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) 1981 akan dikenakan untuk pengguna media sosial.

“Saya kira, selepas tiga episod ‘salah langkah’ sejak dilantik menjadi menteri […] sudah tiba masanya YB Menteri Komunikasi dan Multimedia letak jawatan,” kata Fahmi.

Saifuddin dikritik hebat sejak awal hari ini setelah dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa lesen dari Finas diperlukan untuk semua aktiviti penggambaran di Malaysia, termasuk untuk kegunaan peribadi di media sosial.

Saifuddin kemudian menjelaskan bahawa kerajaan tidak berniat untuk menggunakan akta tersebut untuk menyekat kebebasan peribadi dan mengakui akta tersebut memerlukan penambahbaikan.

Saifuddin berkata bahawa kenyataannya itu sebagai respons kepada Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi untuk menjelaskan Akta Finas seperti yang ada sekarang.

Fahmi, bagaimanapun, mengatakan kontroversi berhubung isu itu dapat dielakkan sekiranya Saifuddin menyatakan dengan jelas sama ada pengguna media sosial di platform berasaskan video seperti TikTok akan dikenakan syarat lesen atau tidak.

“Jawapan yang dipohon mudah: ya atau tidak. Sekali lagi, ia tidak dijawab,” kata Fahmi.

Mengenai pendirian terbaru Saifuddin, Fahmi berkata ia hanyalah sekadar untuk meredakan kemarahan netizen.

“Sepatutnya YB Menteri mengangkat hujah-hujah ini terutama niat meminda akta di dalam jawapan beliau di Dewan Rakyat pagi tadi.

“Ini kerana Dewan Rakyat lah institusi yang berfungsi mewujud atau meminda sesebuah Akta. Namun ini tidak berlaku pagi tadi.

“Oleh itu, saya berpandangan kenyataan terbaru YB Menteri ini berniat ‘mencari jalan keluar’ untuk meredakan kemarahan netizen.

“Dan paling malang, kenyataan beliau ini sebenarnya masih tidak menyatakan dengan jelas bahawa lesen Finas tidak diperlukan oleh pengguna media sosial di pelantar seperti TikTok, YouTube, dan sebagainya,” katanya.

Dua sebab lain yang dinyatakan Fahmi sebagai ‘salah langkah’ oleh Saifuddin adalah pelantikan Eric Paulsen ke Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia, yang ditarik balik selepas dipertikai pelbagai pihak; dan pembatalan peruntukan spektrum jalur komunikasi kepada beberapa syarikat tanpa tender terbuka selepas dikritik pelbagai pihak.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/535841