Tindakan tarik diri dari kerajaan PN akan rugikan Umno – MB Perak

Tindakan tarik diri dari kerajaan PN akan rugikan Umno – MB Perak

UMNO dijangka tidak menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tindakan itu akan merugikan mereka.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan untuk keluar daripada gabungan tersebut menyebabkan UMNO tidak dapat membantu orang Melayu yang mereka wakili.

Menurutnya, rakyat sendiri tidak mahu PN berpecah ketika ini kerana tumpuan harus diberikan terhadap usaha membangunkan semula ekonomi dan melawan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Saya tak fikir UMNO nak tarik balik. Saya tak fikir mereka akan membuat sesuatu yang merugikan mereka dan juga golongan mereka wakili. Ini pandangan saya terpulang kepada mereka.

“(Setakat ini) Bersatu tak buat keputusan lagi. Kami belum jumpa Presiden Bersatu lagi kerana beliau masih dalam kuarantin. Saya kira esok baru habis kuarantin. Kalau dipanggil mesyuarat kami akan beri pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, Bersatu melihat tumpuan perlu diberikan terhadap usaha menstabilkan kerajaan supaya masalah ekonomi yang dihadapi negara dapat diselesaikan.

Katanya, walaupun terdapat sebahagian pemimpin yang berbeza pandangan namun rakyat secara keseluruhannya mahu isu-isu politik ini dihentikan sementara.

Mengenai laporan media bahawa terdapat pertemuan dibuat antara pemimpin UMNO dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Kelmarin, UMNO dalam satu kenyataan membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baharu kepada kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/105472/BERITA/Politik/UMNO-takkan-tarik-diri

COMMENTS