Tolonglah jangan lanjutkan PKPB, rayu pengusaha restoran berdepan risiko gulung tikar

Tolonglah jangan lanjutkan PKPB, rayu pengusaha restoran berdepan risiko gulung tikar

Beroperasi dalam kerugian. Demikian dilema yang dialami majoriti pengusaha restoran di sekitar Lembah Klang sejak kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 14 Okt lalu.

Selain pendapatan operasi berkurang hampir 80% berbanding sebelum ini, ada restoran terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung kos operasi harian.

Berkongsi keperitan yang ditanggung sejak seminggu lalu, pengusaha restoran West My Plate di Puncak Alam, Selangor, Kamarulzaidi Kamis, berkata perniagaannya baru sahaja melalui fasa pemulihan berikutan terjejas dengan pelaksanaan PKP pada Mac lalu, dan kini perlu menanggung kerugian sekali lagi akibat kekurangan pelanggan.

“PKPB punya hal. Jualan restoran jatuh 50% hingga 70%. Baru saja nak naik balik sejak PKP hari itu,” luahnya kepada FMT.

Malah, beliau turut menyatakan hasrat untuk menutup sementara restoran kerana terpaksa menggunakan gaji bulanannya sebagai eksekutif di sebuah syarikat akhbar bagi menampung kos operasi harian.

“Orang kata PKPB tak jejaskan sektor ekonomi. Tetapi inilah pengalaman sebenar. Habis duit gaji ‘support’ operasi restoran. Saya ingat nak tutup seminggu, jika buka pun makan modal juga,” katanya.

Kamarulzaidi berkata, kebanyakan restoran mengharapkan sumber pendapatan daripada pelanggan kakitangan pejabat, dengan perintah terbaharu daripada kerajaan ini sudah tentu memburukkan lagi pendapatan harian.

Berkongsi nasib sama, pengurus kedai restoran Bulan Atap Merah di Kg Melayu Subang, Selangor, Mirzatul Balkis Hamir Hamzah juga menyatakan restorannya kosong tanpa pelanggan sejak PKPB dilaksanakan.

Beliau berkata, kesannya, pendapatan harian restoran menjunam sehingga 80% kerana orang ramai takut untuk makan di restoran.

“Apatah lagi, kerajaan umumkan supaya pekerja di sektor awam dan swasta di bawah PKPB diarah bekerja dari rumah bermula 22 Okt. Ini sudah tentu memburukkan lagi pendapatan kami jika terus beroperasi,” katanya yang terpaksa menutup operasi restoran sejak Isnin.

Jelasnya, ketika beroperasi dalam tempoh PKPB minggu lalu, restoran terpaksa beroperasi dalam kerugian dan pihaknya terpaksa membuat keputusan untuk menghentikan operasi seketika sehingga tamat PKPB.

“Ini sahaja cara untuk elakkan kami membuang pekerja dan terus alami kerugian.”

Walaupun akur dengan keputusan kerajaan, Mirzatul berharap PKPB tidak akan dilanjutkan selepas ia tamat 27 Okt nanti.

“Jika ia dilanjutkan, sudah tentu ramai pengusaha restoran akan gulung tikar dan ramai pekerja akan hilang kerja,” katanya yang mempunyai 7 kakitangan sokongan.

Kerajaan semalam mengumumkan 1 juta pekerja di sektor awam dan swasta di Selangor, Sabah, dan Wilayah Persekutuan di bawah PKPB diarah bekerja dari rumah, susulan peningkatan kes Covid-19.

Bermula 22 Okt sehingga tempoh kawalan bersyarat tamat, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata arahan itu melibatkan 800,000 pekerja di sektor industri dan 200,000 penjawat awam.

Malaysia mencatatkan jangkitan Covid-19 melebihi 800 kes, 4 hari berturut-turut sejak Sabtu lalu dengan 732 kes baharu pada 21 Okt.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/22/elak-gulung-tikar-pengusaha-restoran-rayu-pkpb-tidak-dilanjutkan/