Top Glove nafi langgar garis panduan, selepas luluskan operasi MITI perlu pantau

Top Glove nafi langgar garis panduan, selepas luluskan operasi MITI perlu pantau

Pengeluar sarung tangan getah, Top Glove menafikan dakwaan dalam laporan yang dibuat oleh salah seorang pekerjanya mengenai kegagalan syarikat itu mematuhi langkah-langkah pencegahan Covid-19 ketika beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Portal dalam talian, Free Malaysia Today pada Ahad lalu melaporkan dakwaan yang dibuat oleh seorang pekerja asing berkenaan.

Top Glove dalam satu kenyataan hari ini juga merujuk kepada beberapa keping gambar dan video yang menunjukkan dakwaan ketidakpatuhan tersebut.

Gambar-gambar dan video yang dilihat oleh Malaysiakini itu antara lain, menunjukkan pekerja duduk dalam bas kilang yang disediakan tanpa menjarakkan diri antara satu sama lain

“Kami mengambil perhatian bahawa bas penghantaran pekerja kami dari asrama ke kilang mungkin penuh pada masa-masa ini dan ini telah diperbetulkan di mana kekerapan perjalanan ditingkatkan dua kali ganda, dan dengan itu mengurangkan separuh bilangan pekerja dalam bas pada satu-satu masa,” kata Top Glove.

Top Gove berkata adalah “tidak benar” laporan mendakwa operasi rutin di kilang itu tidak berubah kerana pelbagai langkah dilakukan untuk mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan.

Malah syarikat itu berkata ia juga telah memenuhi syarat bagi mendapatkan kelulusan khas daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk beroperasi ketika PKP.

Antara lain, syarikat itu berkata ia memperkenalkan langkah memeriksa suhu badan sebelum pekerja dibenarkan memasuki premis itu setiap hari.

Mana-mana individu yang mencatatkan suhu badan 37.5 °C dan ke atas akan dihantar ke klinik perubatan di kilang itu untuk pemeriksaan lanjut.

Selain itu, pekerja yang didapati menunjukkan simptom Covid-19 atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif yang lain akan diasingkan.

Syarikat itu juga memberi jaminan bahawa mereka dibayar gaji penuh ketika waktu bekerja.

Top Glove berkata, penjarakan sosial juga dilaksanakan dalam premisnya termasuk di kantin dengan penghadang dipasang di atas meja makan.

“Kami juga telah menukarkan ruang lain sebagai ruang makan untuk pekerja, bagi memastikan penjarakan sosial diperhatikan,” katanya.

Selain itu, syarikat itu juga telah melakukan kerja-kerja pembasmian kuman di semua premis termasuk asrama, kilang dan luar bangunan, serta bas yang digunakan untuk mengangkut pekerja.

Merujuk pengalaman Singapura menangani kluster Covid-19 di asrama pekerja asing, Top Glove berkata perenjis automatik dipasang di pintu masuk asrama untuk memastikan semua pekerja menjalani disinfeksi sebelum memasuki premis.

“Kami terus meningkatkan langkah pelaksanaan dan menyemaknya semula dalam setiap fasa lanjutan PKP bagi menutup mana-mana kelompongan dan memastikan kesihatan pekerja kami sentiasa dijaga baik,” kata syarikat itu.

Maklum balas Top Glove itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan mengenai peningkatan permintaan global bagi sarung tangan getah yang menyaksikan pekerja – terutamanya melibatkan kira-kira 30,000 pekerja asing di Malaysia – terdedah kepada ancaman jangkitan Covid-19 dan amalan eksploitasi lain.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low sebelum ini berkata, eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka melonjak hampir 20 peratus kepada 230 bilion keping sarung tangan tahun ini, meningkat daripada 192 bilion keping tahun lepas.

Ramalan pertumbuhan eksport itu adalah lebih tinggi daripada anggaran antara 210 hingga 220 bilion keping yang diramalkan oleh persatuan itu lebih awal.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/521890