Tuduhan tidak berasas, motif politik – Guan Eng

Tuduhan tidak berasas, motif politik – Guan Eng

Selepas dihadapkan di mahkamah atas tuduhan rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion hari ini, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menegaskan bahawa dia tidak pernah menerima apa-apa suapan pun.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tak pernah menerima sebarang suapan.

“Dan ini pun tak ditanyakan oleh SPRM (kepada saya).

“Dia (SPRM) tak pernah bertanyakan mana suapan saya, sama ada dalam bentuk wang tunai atau pun dalam akaun bank saya. Tak ada puluhan juta, tak ada bilion ringgit.

“Jadi di mana rasuah?” katanya dalam sidang media di lobi mahkamah sebentar tadi.

Katanya, pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah tidak berasas dan bermotifkan politik, dan semata-mata bagi mencemarkan reputasinya.

“Saya akan lawan tuduhan rasuah ini yang saya rasa bermotifkan politik, tak berasas, untuk mencemarkan nama baik saya sebagai seorang anggota parlimen dari pembangkang.

“[…] Kita akan serah kepada mahkamah untuk membuktikan bahawa saya memang tak bersalah,” katanya lagi.

Terdahulu, setiausaha agung DAP itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan meminta suapan yang dikenakan ke atasnya.

Lim dituduh meminta suapan berjumlah 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

Permintaan itu didakwa dibuat Lim sebagai ganjaran bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim dituduh membuat kesalahan itu pada bulan Mac 2011, berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur, semasa menjawat jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Pertuduhan ke atas anggota parlimen Bagan itu dibuat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Lim juga akan dituduh untuk kesalahan membabitkan kes terowong yang sama pada 10 Ogos ini manakala 11 Ogos pula untuk kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Mengulas mengenai pertuduhan hari ini, peguam bela Lim, Gobid Singh yang juga ahli parlimen Puchong, menjelaskan bahawa tuduhan itu tidak mempunyai asas.

“Kalau kamu lihat pada pertuduhan ke atas anak guam saya, tak ada angka sebenar yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Apa yang dinyatakan hanyalah permintaan beberapa peratus tertentu untuk diberikan melalui pengadu daripada projek tertentu.

“Setakat ini, kami bimbang bahawa tak ada asas terhadap pertuduhan itu.

“Kami akan gunakan proses mahkamah untuk membuktikan anak guam saya tidak bersalah. Kami akan berjuang hingga ke akhirnya,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata meskipun dia berdepan dengan pertuduhan sedemikian, pihak pembangkang akan terus mendesak berkenaan skandal rasuah seperti 1MDB.

“Seperti yang kamu tahu, ada perkembangan di parlimen semalam (berhubung kes itu). Kami akan terus tekan isu ini.

“Esok saya akan keluarkan kenyataan tentang 1MDB, iaitu berkenaan penyelesaian Goldman itu dibuat tanpa kelulusan kabinet,” katanya.

Persetujuan untuk penyelesaian luar mahkamah dicapai antara kerajaan dengan firma Goldman Sachs-bernilai AS$2.5 bilion dalam bentuk tunai dan AS$1.4 bilion dalam bentuk jaminan – bagi mendapatkan semula aset yang diperolehi menggunakan dana 1MDB.

Jumlah itu lebih rendah daripada AS$7.5 bilion seperti yang dituntut oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Dua hari lalu, Lim berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya boleh mendapat pampasan yang lebih lagi dari Goldman Sach atas peranannya dalam dakwaan kecurian dana 1MDB.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/537753