Tular video jambatan Pulau Pinang retak menunggu masa untuk runtuh, ini respon Lembaga Lebuhraya

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Sebuah video tular memaparkan berlaku keretakan di sebahagian daripada struktur sebuah jambatan kononnya di Pulau Pinang adalah palsu.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan memaklumkan,

Kejadian tersebut tidak berlaku sama ada di Jambatan Pulau Pinang (JPP) mahu pun Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS).

Tular video jambatan Pulau Pinang retak menunggu masa untuk runtuh, ini respon Lembaga Lebuhraya

“Hasil siasatan oleh PLUS Malaysia Berhad dan Jambatan Kedua Sdn. Bhd (JKSB), kejadian tersebut tidak berlaku di mana-mana bahagian struktur JPP dan JSAHMS.

“Pihak JKSB juga telah membuat laporan polis hari ini berhubung dakwaan palsu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Belanjawan 2024: RM2.8 bilion untuk selenggara jalan, jambatan Persekutuan

LLM dan Kementerian Kerja Raya turut menasihatkan semua pihak supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan salah faham serta kebimbangan rakyat Malaysia terutama pengguna JPP dan JSAHMS.

Semalam, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kejadian itu bukan berlaku di JSAHMS, malah video tular itu ialah rakaman lama yang berlaku di luar negara sekitar 2014.

Sebelum itu, sebuah video berdurasi 28 saat tular memaparkan sebuah jambatan yang didakwa Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang popular dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang retak bersama mesej memberi amaran kepada pengguna supaya berhati-hati.

BACA:Boleh pakai ‘niat’ saja memandu, rupanya Mercedes dah cipta kereta ambil idea Avatar