Tular wanita bengang kereta kena tarik, ini prosedur sebenar tarik kereta ramai tak tahu

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Setiap individu pasti menyimpan impian untuk memiliki kenderaan yang didaftarkan atas nama mereka sendiri.

Kenderaan ini boleh dibeli secara tunai atau melalui bayaran ansuran bulanan (loan) berdasarkan perjanjian yang dibuat dengan institusi kewangan.

Bagi pembelian secara tunai, kenderaan tersebut akan menjadi hak milik sepenuhnya.

Namun, bagi mereka yang membeli secara ansuran, pemilikan penuh hanya akan berlaku setelah semua hutang dilangsaikan.

Jadi, pembeli perlu memastikan bayaran pinjaman diselesaikan tepat pada masanya.

Tular wanita bengang kereta kena tarik, ini prosedur sebenar tarik kereta ramai tak tahu

Kegagalan melunaskan bayaran ansuran mengikut perjanjian boleh menyebabkan kenderaan tersebut ditarik balik.

Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari bahawa walaupun kenderaan belum habis dibayar, pembeli masih mempunyai hak tertentu.

Malah, prosedur penarikan kenderaan boleh diselesaikan dengan baik tanpa sebarang pertikaian jika pembeli memahami hak mereka.

Konsep Sewa Beli & Penarikan Kenderaan

Sebelum membincangkan prosedur penarikan kenderaan, mari fahami konsep sewa beli. Dalam urusan ini, pembeli dianggap sebagai “penyewa,” manakala institusi kewangan merupakan “pemilik” kenderaan sehingga pinjaman selesai dibayar.

Menurut Akta Sewa Beli, institusi kewangan berhak menarik balik kenderaan jika penyewa gagal membayar ansuran seperti yang dipersetujui. Namun, hanya ejen penarik yang berdaftar di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh melakukan penarikan secara sah, dan proses tersebut mesti dilaporkan kepada polis.

Penting diingat, polis tidak melindungi ejen penarik dalam melaksanakan tugas mereka.

Hak Penyewa (Pembeli)

Sebelum penarikan dilakukan, penyewa mempunyai beberapa hak yang perlu dihormati oleh ejen penarik, termasuk:

-Penarikan tidak boleh dilakukan di kawasan kediaman berpagar.

-Penarikan tidak boleh dilakukan pada hari cuti umum.

Waktu operasi penarikan adalah dari 9 pagi hingga 9 malam sahaja.

-Jika lebih daripada 75% pinjaman telah dibayar, ejen penarik perlu mengemukakan surat arahan dari institusi kewangan dan perintah mahkamah.

-Ejen penarik perlu mempunyai Kad Autoriti Ejen Perolehan Semula (EPS) daripada KPDNHEP.

-Proses penarikan tidak boleh dilakukan secara kasar.

-Penyewa boleh mengeluarkan barangan peribadi dari kereta sebelum kenderaan ditarik.

-Ejen penarik mesti membuat laporan polis untuk mengesahkan penarikan kenderaan.

-Penyewa berhak membuat laporan polis sekiranya berlaku kekerasan, peras ugut, atau pencerobohan ketika proses penarikan kenderaan.

Prosedur Sebelum Penarikan Kenderaan

Institusi kewangan akan menghantar Notis Jadual Keempat sebagai amaran awal jika pembayaran tertunggak. Notis ini sah selama 21 hari.

Jika bayaran masih tidak dilunaskan, notis kedua akan dikeluarkan 14 hari selepas tamat tempoh notis pertama, memaklumkan bahawa penarikan kenderaan akan dilakukan.

Penyewa boleh melangsaikan tunggakan untuk mengelakkan penarikan, atau menyerahkan kenderaan sebelum notis tamat tempoh.

Jika kenderaan ditarik, nilai kenderaan akan ditolak dari baki hutang yang belum dijelaskan.

Tindakan Penyewa Semasa Proses Penarikan

Ketika kenderaan ditarik, penyewa disarankan mencatat maklumat berikut:

-Nama ejen penarik
-Nombor permit ejen
-Nama dan alamat bank
-Lokasi tempat kenderaan akan disimpan

Tindakan Selepas Kenderaan Ditarik

Penyewa akan menerima notis Jadual Kelima dalam tempoh 21 hari selepas kenderaan ditarik. Notis ini memberi peluang untuk melangsaikan hutang tertunggak termasuk kos penarikan dan penyimpanan kenderaan.

Jika penyewa gagal membayar dalam tempoh 21 hari, institusi kewangan berhak menjual kenderaan melalui lelongan awam atau menawarkan pembelian semula pada harga yang lebih rendah kepada penyewa.

BACA: Anjing pon jadi pening nak menari ke nak halau