Tun M ingatkan Umno, jika kerajaan PN jatuh mereka juga turut jatuh

Tun M ingatkan Umno, jika kerajaan PN jatuh mereka juga turut jatuh

Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada jaminan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru, walaupun mendapat sokongan ahli Parlimen Umno.

Bekas perdana menteri itu percaya akan ada pemimpin Umno yang menarik diri daripada menyokong Anwar.

“Jadi, tidak akan capai majoriti juga. Mungkin ada ‘deal’, perjanjian kalau saya (Anwar) jadi perdana menteri, saya bagi kamu jadi menteri dan sebagainya,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia hari ini ketika ditanya pendapatnya mengenai cadangan Umno menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan Anwar, jika ketua pembangkang itu mempunyai formula yang dapat membahagiakan semua parti terlibat.

Katanya, Umno sendiri tidak puas hati dengan PN sejak ia ditubuhkan, apabila parti itu tidak mendapat peluang untuk kembali berkhidmat seperti diharapkan.

Pada masa sama, beberapa ahli Parlimen Umno membuat laporan polis, menafikan mereka menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Mahathir juga menasihatkan parti politik berkenaan kemelut politik ketika ini, mengatakan “kalau kerajaan yang ada ini nampak mampu, kita jangan kacau”.

Katanya, hasrat Umno menarik diri daripada menyokong PN juga akan memberi risiko kepada parti itu, yang menurutnya akan tumbang bersama.

“Umno berkemungkinan fikir boleh membentuk kerajaan baru bersama Anwar, jika mengambil tindakan keluar daripada PN. Bukan sahaja PN jatuh, Umno pun akan jatuh juga.”

Selasa lalu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, parti itu mempertimbangkan untuk menarik dari daripada menyokong PN dan menetapkan syarat baru kepada kerajaan untuk meneruskan kerjasama politik

Beliau berkata, Umno turut akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional supaya ia didaftar segera sebagai gabungan politik sah.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/16/anwar-belum-tentu-dapat-majoriti-dengan-sokongan-ahli-parlimen-umno-kata-dr-m/

COMMENTS