Tun M pula cabar Zafrul dedah senarai

Tun M pula cabar Zafrul dedah senarai

Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk menerbitkan senarai penuh 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didakwa diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika mentadbir selama 22 bulan.

Bekas perdana menteri meminta Zafrul menyiarkan senarai projek termasuk nama-nama mereka yang mendapatkannya.

“Malangnya Tengku Zafrul tidak menyenaraikan secara terperinci projekprojek tersebut.

“Untuk memastikan prinsip ketelusan ataupun transparency diamalkan, saya menyeru supaya senarai projek-projek tersebut diumumkan bersama dengan nama mereka-mereka yang dapat kelulusan tidak kira siapa mereka.

“Keikhlasan menteri kewangan dalam perkara ini amat dialu-alukan. Rakyat berhak mendapat maklumat penuh berkenaan perkara ini,” kata Dr Mahathir.

Semalam, Tengku Zafrul ketika berucap di parlimen mendakwa bahawa 101 projek bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan melalui rundingan langsung di bawah pemerintahan bekas Pakatan Harapan.

Beliau membuat dakwaan itu ketika menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Bagaimanapun Zafrul tidak mendedahkan perinciannya.

Awal hari ini, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng juga membuat gesaan serupa kepada Zafrul.

Lim dalam satu kenyataan berkata Kementerian Kewangan tidak bersedia untuk melakukannya kerana ia akan mendedahkan menteri dalam kabinet PN sekarang yang mendorong pemberian kontrak secara rundingan terus itu pada masa lalu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/539999