Tun Razak pernah lakukan perkara sama demi kestabilan politik – Najib

Tun Razak pernah lakukan perkara sama demi kestabilan politik – Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan maksud sebenar kenyataan beliau mengenai “kerjasama dengan seteru politik” boleh dilakukan sekiranya sesuai dengan parti dan kepentingan negara.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau mengambil contoh tindakan yang dilakukan ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak pada 1973 dengan mengasaskan Barisan Nasional (BN) dan membenarkan kemasukan ‘musuh’ UMNO ketika itu – Parti Gerakan Rakyat Malaysia, PPP (Parti Progresif Penduduk) dan juga Pas.

Menurut Najib, pemikiran Abdul Razak pada ketika itu adalah mengenai agenda paling penting iaitu kestabilan dalam negara untuk memulihkan negara.

“Dari (peristiwa) ini, saya diajar bahawa politik ini adalah dinamik dan kita perlu sentiasa kaji apakah langkah boleh diterima oleh ahli-ahli kita yang paling sesuai bagi parti dan kepentingan negara,” kata bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu lagi.

Mengimbas sejarah lepas, Najib berkata, sesiapapun pada tahun 2017 akan kurang percaya bahawa Pas yang ketika itu seteru politik akan bersama-sama dengan UMNO dan membentuk Muafakat Nasional pada 2018.

Bahkan, jelas beliau, sesiapa pun pada akhir 2019 juga akan kurang percaya bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang UMNO tentang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dan Kimanis, akhirnya bersama-sama membentuk kerajaan baharu pada Februari 2020.

“Ia juga menjadi realiti sebab ahli-ahli UMNO dan BN bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM masa itu (tetapi kini ditolak oleh majoriti ahli).

“Jadi, apa langkah untuk berkerjasama dan siapa yang kita mahu berpakat (dengan) perlu dipersetujui dan diterima majoriti ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO-BN dan wajar dikaji demi masa depan parti dan juga demi kepentingan bangsa, agama dan negara,” kata beliau dalam hantaran itu.

Namun Najib sekali lagi menegaskan, apa sahaja langkah yang melibatkan dasar dan hala tuju parti, harus bersandarkan kepada syarat bahawa ia mesti diterima pemimpin dan akar umbi UMNO.

Selain itu, katanya lagi, jika sudah diterima, kerjasama itu pula harus berlandaskan kepada keikhlasan dan mempunyai trust (kepercayaan) sesama mereka.

“Jika majoriti ahli-ahli parti bersetuju untuk bekerjasama dengan Tun (Dr) Mahathir (Presiden Interim Parti Pejuang Tanah Air) atau Mat Sabu (Presiden Parti Amanah Negara), atau Shafie Apdal (Presiden Parti Warisan Sabah), kita explore (teroka).

“Jika majoriti ahli-ahli parti bantah untuk kita bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, atau DAP, atau Shafie Apdal, kita tak teruskan. ‘Explore all options and think out of the box’ kata orang putih,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/najib-razak-jelaskan-maksud-kerjasama-dengan-seteru-politik-284325