TYDP YADIM adakan pertemuan silaturrahim dengan penggiat nasyid negara

TYDP YADIM adakan pertemuan silaturrahim dengan penggiat nasyid negara

Alhamdulillah, antara sifat orang beriman ialah mereka berkasih sayang dan saling bermaafan ketika syaitan berusaha untuk mewujudkan sengketa.

Hari ini terbukti Islam ramah-tamah dan rahmah menghasilkan suatu natijah yang baik dalam pertemuan diantara TYDP YADIM, Yang Bhbg Ustaz Zolkharnain Abidin a.k.a Ust Zola dengan wakil Munsyid Malaysia, Saudara Muhammad Hazamin Bin Harun, CEO Nasyeed.com Saudara Ahmad Zuwairy a.k.a Waie Ramly dan saya sendiri.

‘Keributan dalam cawan’ yang tertular baru-baru ini secara tidak sedar sedikit sebanyak memberi kesan kepada majoriti penggiat nasyid tanah air. Bila diamati buah bicara dan paradigma pemikiran Ust Zola, harapan terbesarnya adalah untuk melihat Islam dalam pelbagai bidang mampu menjana pembangunan dan kemajuan, bukan sekadar dipinggiran didendang di kalangan agamawan bahkan mesti dirasai kehadirannya oleh masyarakat bukan Islam.

Saudara Hazamin orang yang tepat menghubungkan naratif kemajuan dan pembangunan ini. Sebagai ahli kumpulan Inteam yang terlibat di dalam industri selama 20 tahun menjelaskan segala pencapaian sejak era nasyid menjadi fenomena dalam industri hiburan negara sekitar tahun 1996 sehingga sekarang. Karya-karya terhasil mengikut perkembangan semasa bagi menarik kelompok remaja gelora cinta untuk kekal dengan nasihat agama – itu antara contoh kenapa Kasih-Kekasih sesuai dikumandangkan pada waktu kita risau dengan budaya couple di kalangan remaja ketika itu.
Ditambah lagi dengan pencapaian nasyid Inteam yang begitu membanggakan termasuk bebrapa kali tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM), dan berterusan menerima undangan persembahan luar negara.

Saudara Waie lebih memurnikan lagi dengan menjelaskan perlbagai usaha dilaksanakan oleh mereka bagi memastikan nasyid terus mendapat tempat di hati masyarakat sebagai satu medium mendidik melalui hiburan alternatif. Antaranya pernah menganjurkan Anugerah Industri Nasyeed, mengawal selia kualiti dan branding kumpulan-kumpulan nasyid tanah air agar menepati golongan sasar yang mereka fokuskan.

Saya menambah lagi banyak potensi simbiosis yang boleh dimanfaatkan bersama oleh pihak Munsyid dan juga YADIM sendiri untuk memenuhi hasrat Ust ZOLA yang dinyatakan awal tadi.

Pertemuan yang bukan sekadar kenyang makan nasi lemak dan rempeyek sedap yang dihidangkan oleh Ust ZOLA semata-mata, tapi insya’allah akan ada kesinambungan dari pertemuan pertama ini.

“lepas ni ana sendiri yang datang pejabat antum” kata Ust ZOLA. Insya’allah kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan bagi sama-sama membangunkan ummah ini. Ternyata ada ‘Rahmat Ujian’ yang Allah selitkan disebalik likuan jalan mujahadah ini. Inilah inklusif.

Sumber :