Ulasan KJ buat orang ramai terkejut. Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menganggap kekalahannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah pengakhiran kerjayanya dalam dunia politik.
Biarpun masih belum memutuskan apa yang akan dilakukan selepas ini, beliau yang mengakui keletihan akan berusaha mencari punca sebenar kekalahannya itu dan kembali bangkit selepas ini.
“Adakah ini pengakhirannya? Pasti tidak. Saya mahu merenung perkara ini sebelum memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Sebenarnya saya keletihan.
“Saya tidak ada masa untuk berehat sejak ditugaskan untuk menguruskan pandemik COVID-19. Ia adalah dua tahun yang sukar bagi saya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Bagaimanapun, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, ia adalah satu keistimewaan buat dirinya apabila sebelum ini ditugaskan untuk berkhidmat kepada negara, selain gembira dengan pencapaian Malaysia yang pulih lebih baik daripada kebanyakan negara lain.
Khairy mengakui pilihan raya berfungsi sebagai cara untuk mengukur populariti dan prestasi seseorang ahli politik.
“Saya sudah mencuba yang terbaik, tetapi saya tidak cukup bagus. Kalah tetap kalah, tidak kira berapa dekat (dengan kemenangan) atau berapa ramai yang meluahkan kekecewaan atas kekalahan anda,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara yang paling menyedihkan menjadi ahli politik apabila disahkan secara terbuka (menerusi keputusan bertanding) setiap lima tahun sama ada diterima orang ramai atau sebaliknya.
“Pilihan raya adalah asas kepada mana-mana demokrasi yang berfungsi. Tetapi ia juga sesuatu yang memberitahu ahli politik sama ada mereka cukup baik atau sebaliknya. Jika orang suka mereka atau tidak (akan diketahui secara terbuka).
“Kehilangan adalah satu kerugian,” katanya.
Semalam, bekas Ketua Pemuda UMNO itu tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan yang menang kerusi itu dengan majoriti 2,693 undi, selain menyaksikan Parlimen tergantung yang kali pertama berlaku.
Malah, beliau menganggap ini perkara luar biasa kerana tiada gabungan yang berjaya memenangi jumlah majoriti kerusi Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Saya berharap calon yang dipilih melaksanakan tugas dengan penuh bijaksana dan belas kasihan kerana negara memerlukan kestabilan dan kepimpinan lebih baik daripada sebelumnya. Saya doakan yang terbaik untuk anda semua,” katanya.