Umno, BN buktikan sokongan dengan kelulusan belanjawan – Zahid

Umno, BN buktikan sokongan dengan kelulusan belanjawan – Zahid

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sokongan parti itu terhadap Belanjawan 2021 terserlah apabila ia diluluskan pada peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata keputusan parti itu melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menyokong Belanjawan 2021 dengan dua syarat sebelum ini telah dipersetujui kerajaan.

“Alhamdulillah. Keputusan parti melalui MKT yang menyokong Bajet 2021 dengan dua syarat telah diperakui sepenuhnya. Solidariti UMNO dan BN terpancar melalui kelulusan bajet tersebut,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

BN sebelum ini menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran ‘one-off’ hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021.

Sementara itu, Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Belanjawan 2021 telah melepasi halangan terbesar dan diluluskan demi keutamaan negara dan rakyat.

“Kemasalahan rakyat sangat mendesak dan belanjawan yang diluluskan ini insya-Allah adalah intervensi yang sangat dinanti-nantikan.

“Ini adalah petanda jelas bahawa dalam keadaan sukar sebegini, kepentingan paling tinggi ialah mengandakan kebajikan, menyelamat perniagaan dan membangun daya tahan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan PN harus segera merancang supaya Belanjawan 2021 dapat segera dilaksanakan tanpa ketirisan, karenah birokrasi dan keutamaan yang tersasar.

Dalam pada itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berharap peruntukan yang diluluskan menerusi belanjawan itu dapat disalurkan dengan penuh efisien, adil dan saksama sehingga sampai kepada rakyat.
Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar hari ini.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti selepas permohonan beberapa ahli Parlimen untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.