Umno kata kena buli tapi saya yang hilang jawatan MB – Faizal

Umno kata kena buli tapi saya yang hilang jawatan MB – Faizal

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat, UMNO perlu memahami apa yang berlaku terhadapnya di Perak apabila ditolak sebagai Menteri Besar negeri itu pada Disember lalu sebelum mendakwa parti berkenaan telah dibuli oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahmad Faizal menegaskan, sekiranya UMNO benar-benar dibuli, tidak mungkin beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu boleh hilang jawatan sebagai Menteri Besar.

Justeru, katanya, dakwaan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang menyifatkan UMNO telah dibuli oleh Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) sukar untuk diterima.

“Saya ada pengalaman di Perak apabila saya mengetuai kerajaan Perikatan Nasional Bersama UMNO dan Pas namun akhirnya ditolak, tentunya Machang (Ahmad Jazlan) perlu memahami apa yang saya lalui.

“Jika saya seorang Timbalan Presiden sebuah parti yang membuli parti UMNO, perkara yang berlaku kepada saya itu tidak akan berlaku,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini pada Rabu.

Pada awal Disember lalu, Ahmad Faizal hilang jawatan sebagai Menteri Besar Perak selepas gagal memperoleh majoriti sokongan usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)

Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokong manakala 48 lagi membantah sementara satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal menegaskan, Bersatu akan tetap berpegang pada prinsip asas penubuhan parti untuk memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.

Mengenai spekulasi UMNO untuk tidak lagi menjalin kerjasama bersama Bersatu, beliau berkata, parti berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya masih berpegang kepada prinsip yang sama seperti yang menjadi pendirian kedua-dua pihak selama ini.

“UMNO merupakan parti yang tidak lari dengan perjuangan terhadap agama, bangsa dan tanah air, saya yakin tentunya akan terus bersama kami (Bersatu) jika masih berpegang kepada asas penubuhan parti mereka,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang berpendapat, setakat ini rakyat dilihat selesa dengan pentadbiran kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beberapa hari lalu, Ahmad Jazlan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa 6 Januari.

Menurutnya, peletakan jawatan itu bagi menzahirkan prinsip enggan bekerjasama dengan kerajaan PN.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/kalau-umno-dibuli-saya-tidak-hilang-jawatan-faizal-azumu-276393