Umno Padang Rengas pula umum tak akan kerjasama dengan Bersatu

Umno Padang Rengas pula umum tak akan kerjasama dengan Bersatu

UMNO bahagian Padang Rengas tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sebaliknya, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, UMNO akan bertumpu kepada pemerkasaan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas.

Mohamed Nazri sementara itu mengakui, kerajaan yang dianggotai UMNO pada ketika ini, hanya bersifat sementara menuju ke PRU15.

“Alasannya ialah sebagai sebuah parti politik yang unggul di tanah air, kita akan menghadapi masalah apabila duduk untuk berunding kerusi dengan Bersatu kerana mereka telah pun mencuri kerusi kita.

“Juga, saya menyokong di negeri Perak ini kenyataan Menteri Besar Datuk Saarani bahawa kerusi adalah kerusi kita.

“Kerajaan yang ada pada hari ini hanya sekadar sementara menghadapi PRU15 dan kita sebenarnya mahu supaya rakyat diberikan kuasa mereka untuk memilih kerajaan yang mereka kehendaki,” jelasnya.

Dakwanya lagi, pengkhianatan yang dilakukan Bersatu sebelum ini, khususnya dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, menyukarkan UMNO untuk mempercayai parti tersebut.

“UMNO memang berang dengan Bunga di Perak. Dia kacau kita punya kampung, ahli majlis pun terpaksa bahagi dengan mereka. dia sibuk curi orang kita, sibuk bagi duit kepada orang kita.

“Betul.. its true, RM20,000 untuk membuka cawangan di Perak, dia mana ada orang, ada sesetengah orang yang ditawarkan.

“Tidak silap saya ada kenyataan yang dikeluarkan daripada Setiausaha Agung (Bersatu) untuk menubuhkan 8,000 cawangan. Boleh buat free (percuma) ke? No way, dalam masa singkat untuk buat sedemikian, main duitlah tu,” tambah beliau lagi.

Mohamed Nazri berkata, kesemua Ketua Bahagian UMNO dijangka akan bertemu Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu untuk membincangkan hal berkenaan.

Terdahulu, Bersatu menafikan dakwaan parti itu cuba ‘membeli’ atau ‘mencuri’ ahli UMNO sehingga sanggup membayar sehingga RM5,000 bagi penubuhan cawangan parti berkenaan.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menegaskan, perkara itu adalah tidak benar sama sekali selain menyifatkan ia adalah tuduhan liar tanpa bukti yang kukuh.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/umno-padang-rengas-umum-tidak-akan-kerjasama-dengan-bersatu-pada-pru15-275823