UMNO-PAS nekad hadapi PRU tanpa Bersatu, takkan sedia kongsi kerusi

UMNO-PAS nekad hadapi PRU tanpa Bersatu, takkan sedia kongsi kerusi

ULASAN | Dunia politik tanah air mutakhir ini bergegar lagi dengan desas desus pembubaran parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Khabar ini bermula dengan titah Sultan Johor melalui Facebook yang menyatakan bahawa baginda akan membubarkan DUN jika kerusi menteri besar (dan kerajaan negeri) bertukar lagi.

Diikuti pula oleh hantaran media sosial Twitter oleh presiden Umno yang bertanyakan sama ada rakyat jelata sudah bersedia untuk PRU15 kerana beliau dan Najib Razak sudah bersedia.

(Saya tidak pasti apa signifikannya Najib dalam percaturan politik presiden Umno, tapi itu kisah di ruang yang lain.)

Tulisan ini akan menumpukan kepada gelanggang politik Semenanjung Malaysia sahaja kerana saya kurang arif dengan seni politik Malaysia Timur.

Harus diakui, gergasi dalam pertarungan politik Semenanjung Malaysia cuma ada dua:

1- Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada PAS dan Barisan Nasional (BN).

2- Pakatan Harapan (PH) yang berdiri daripada Keadilan, DAP dan Amanah.

Di mana terletaknya Perikatan Nasional (PN) dalam sifir politik semenanjung Malaysia?

Untuk menjawab soalan tersebut, perlu ditanyakan soalan lain “siapa parti komponen PN?”.

Jawapannya Bersatu sahaja. Barangkali mungkin ada sokongan dari Parti Negara yang terdiri daripada penyokong Azmin Ali.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini belum ada khabar berita tentang penubuhan parti yang logonya seiras dengan Restoran Kudu ini.

Berdasarkan kiraan kasar tersebut, nak tak nak saya terpaksa kelompokkan MN dalam kategori yang sama dengan PSM, Berjasa dan Parti Kita iaitu sebagai “kuasa ketiga” atau memetik kata kata Azmin Ali ketika bercakap tentang Amanah sebelum PRU-14 lalu, “parti nyamuk”.

Kenapa perlu berkuntau?

Kenapa BN dan PAS perlu ‘berkuntau’ dalam rundingan kerusi dengan Bersatu kalau mereka boleh berbahagi sesama mereka sahaja?

Kenapa perlu berkongsi tiga kalau berkongsi dua boleh memberikan porsi yang lebih lumayan?

Kalau pun MN sedia berkongsi dengan Bersatu (best case scenario), Bersatu akan tetap mendapat bahagian yang kecil, setara dengan kemenangan 13 (dan kemudian berkurang kepada 12) kerusi parlimen pada PRU lalu.

Secara logiknya, adakah Umno bersedia melepaskan kerusi selesa (sekadar contoh: Larut, Mersing, Masjid Tanah) mereka kepada Bersatu yang melompat dari Umno dulu? Saya rasakan mustahil.

Bersatu fraksi Mahathir juga perlu memilih sama ada mahu menjadi “Friends of PH” atau terus berusaha untuk merebut kembali parti mereka.

Secara realistiknya, tidak mungkin mereka akan mendapat kembali Bersatu yang mereka asaskan kerana hal ehwal parti politik terletak di bawah bidang kuasa ROS dan ROS berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Secara kebetulan (atau tidak?) juga, menteri KDN adalah Hamzah Zainuddin merangkap setiausaha agung Bersatu yang dipertikaikan perlantikannya oleh Mahathir.

PH harus menyegerakan penetapan dan pembahagian kerusi. Tidak boleh tidak. Dengan atau tanpa Bersatu (Mahathir).

Kelihatannya seakan MN sudah nekad mahu bertempur dalam PRU15 tanpa Bersatu.

Bola kini berada dalam tangan PH untuk memilih sama ada mahu “jalan terus” atau berterusan melayan dondang sayang Bersatu yang seakan tiada kesudahan.

Saya percaya PH masih berupaya untuk menang pada PRU15.

Kalau pun tumpas (tipis), setidak-tidaknya bonus penyedap hati adalah hampir pasti kartel si kitol akan hilang kerusi (melainkan jika MN sudi beri kerusi selamat, satu lagi senario hampir mustahil).

Berita penuh :

https://m.malaysiakini.com/news/529205