UMNO Sabah menafikan dakwaan bahawa mereka menjadi dalang di sebalik penularan berita mengenai skandal rasuah
Ada yang membabitkan pemimpin politik kerajaan negeri, seperti yang tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, menegaskan bahawa parti itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan isu tersebut,
apatah lagi dituduh sebagai pihak yang menyebarkannya.
Menurut beliau, dakwaan ini mula tular selepas sebuah portal berita yang berpusat di Kuala Lumpur melaporkan tentang skandal rasuah yang membabitkan pemimpin tertentu, tanpa menyebutkan nama negeri.
“Jika ada ahli UMNO yang berkongsi laporan tersebut di media sosial, itu hanya perkongsian biasa yang tidak menyentuh mana-mana pihak secara spesifik. Jadi, kenapa perlu dikaitkan dengan UMNO dan dituduh sebagai dalang?” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan ini dibuat susulan beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa laporan skandal rasuah tersebut adalah hasil daripada konspirasi parti tertentu, terutamanya UMNO.
Awang Aslee menjelaskan bahawa isu ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat jika terdapat sebarang laporan rasmi.
“Jika benar ada kejadian seperti ini yang melibatkan pemimpin negeri dan ada laporan, pihak berkuasa pasti akan menjalankan siasatan dan membawa mereka ke muka pengadilan. Kita berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan dan menangani isu ini dengan serius,” tambahnya.
Beliau juga menekankan bahawa Sabah perlu bebas daripada amalan rasuah, selaras dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bertekad untuk terus membanteras rasuah dalam pentadbiran kerajaan.
Sehubungan itu, Awang Aslee mengingatkan pihak-pihak tertentu yang menuduh UMNO, terutamanya tentera siber, agar tidak mengaitkan parti itu sebagai pihak yang mencetuskan pendedahan skandal rasuah tersebut.
“Jika SPRM membuat keputusan dan mendapati tiada sebarang isu, maka ia adalah perkara yang baik. Tetapi jika SPRM merasakan ada sesuatu yang perlu disiasat, tindakan harus diambil. Jangan timbulkan persepsi selagi siasatan belum selesai,” katanya.