Universiti tempatan terima permohonan kemasukan mendadak pelajar dari China

Universiti tempatan terima permohonan kemasukan mendadak pelajar dari China

Beberapa universiti ternama di Malaysia dan Singapura mencatat peningkatan permohonan mendadak dari kalangan pelajar China, ekoran sekatan perjalanan dan hubungan bilateral yang merudum antara negara mereka dengan negara-negara Barat.

Agensi South China Morning Post (SCMP) melaporkan, sebelum ini pelajar China sering menyasarkan destinasi seperti Britain, Amerika Syarikat dan Australia, namun ia sudah mula berubah sejak penularan wabak COVID-19 bermula Disember lepas.

Bagaimanapun, sebilangan besar pelajar China masih menunggu kerana kebanyakan institusi di Asia, terutamanya Singapura dan Malaysia masih mengadakan kelas secara dalam talian.

Menurut agensi itu lagi, program This Week in Asia telah menghubungi 14 universiti di Malaysia dan Singapura, dan tiga dari lima universiti yang memberi maklum balas, memberitahu terdapat peningkatan permohonan mendadak daripada pelajar China.

“Curtin Singapore menerima peningkatan 55 peratus permohonan untuk kemasukan bulan Julai, berbanding tempoh yang sama tahun lepas, manakala Universiti Malaya mencatat peningkatan 33 peratus untuk permohonan peringkat sarjana, dan 130 peratus peningkatan untuk permohonan peringkat pascasiswazah,” menurut laporan itu lagi.

China merupakan sumber pelajar antarabangsa terbesar di dunia, dengan data Kementerian Pelajaran mereka menunjukkan lebih 662,000 pelajar mahu melanjutkan pelajaran peringkat tinggi di luar negara pada 2018.

Data dari Institusi Pengajian Antarabangsa China pula menunjukkan pelajar negara itu merupakan satu per tiga dari keseluruhan 1.1 juta pelajar antarabangsa di Amerika Syarikat untuk tahun akademik 2018-19.

Bagaimanapun, Negara Uncle Sam itu mencatatkan penurunan minat secara mendadak daripada pelajar China apabila Presiden Donald Trump mengugut mahu menggantung visa pelajar yang membuat kajian untuk agensi China.

Berita penuh : http://www.astroawani.com/berita-dunia/covid-19-pelajar-china-mula-pandang-malaysia-singapura-sebagai-destinasi-pendidikan-252269