Di zaman moden ini, terdapat pelbagai jenis kerja yang boleh dilakukan untuk mencari pendapatan.
Terkadang, pekerjaan yang jarang difikirkan orang juga boleh menjadi sumber pendapatan, seperti kerja yang dilakukan oleh seorang lelaki ini.
Freddie Beckitt, seorang lelaki berusia 31 tahun, mendapat pendapatan sampingan sehingga 160 paun (RM903) sehari dengan menjadi seorang tukang beratur.
Tugasnya adalah beratur untuk pelanggan, kebanyakannya golongan yang kaya atau yang malas menunggu semasa membeli-belah dan sebagainya.
Menurut Freddie, seorang penulis fiksyen dari Fulham, dia boleh mendapat sehingga 20 paun (RM112) sejam dan sanggup beratur untuk jangka masa yang lebih lama untuk mendapat lebih banyak bayaran.
“Saya sanggup beratur lama-lama asalkan ada yang bersedia membayar untuk tugas itu. Saya memasarkan perkhidmatan saya melalui aplikasi Taskrabbit yang menawarkan pelbagai jenis pekerjaan, dan pelanggan memilih perkhidmatan yang mereka perlukan.”
“Saya pernah beratur selama lapan jam untuk membeli tiket pertunjukan V&A Christian Dior. Masa sebenar untuk beli tiket hanya tiga jam, tetapi pelanggan meminta saya untuk mendapatkan tiket dan menunggu mereka tiba di acara tersebut. Saya tidak kisah, asalkan dibayar 20 paun sejam.”
Freddie menambah bahawa kebanyakan pelanggannya adalah golongan atasan yang malas atau tiada masa untuk beratur, terutamanya untuk mendapatkan tiket atau laluan masuk ke acara popular.
Beliau juga berharap dapat beratur lebih lama untuk menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan sepenuh masa.