Usaha 5 tahun tak khianati hasil, akhirnya produk Khairul Aming dapat sijil Halal

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Pengusaha terkenal, Khairul Aming, baru-baru ini mengumumkan bahawa dua produk keluarannya telah memperoleh sijil halal.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Khairul Aming, beliau berkongsi bahawa

sijil tersebut telah dianugerahkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

Menurutnya, pencapaian itu adalah hasil usaha gigih beliau bersama pasukannya yang membangunkan

sebuah kilang kosong di Kota Bharu secara berperingkat sehingga menerima pengiktirafan tersebut.

Usaha 5 tahun tak khianati hasil, akhirnya produk Khairul Aming dapat sijil Halal

“Sebelum ini, kami bermula dengan sebuah kilang di Kota Bharu dari kosong.

Kami bangunkan secara sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, sekarang kami sudah memiliki dua kilang dengan lebih daripada 100 pekerja.

“Kemudian, Insha-Allah kami akan memohon pula sijil Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) untuk kilang kami di Kelantan,” ujar Khairul Aming dengan penuh kesyukuran.

Beliau turut menjelaskan bahawa dengan adanya sijil halal ini, ia membuka peluang untuk mengembangkan produk-produknya ke pasaran yang lebih luas.

Pada masa yang sama, beliau merancang untuk terus memajukan pasaran e-dagang dan pengeluaran makanan di kilang tempat beliau beroperasi kini.

Dalam pada itu, Khairul Aming memaklumkan bahawa beliau kini sedang memberi tumpuan kepada pembangunan produk ketiga yang dijangka dilancarkan pada tahun hadapan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai atas sokongan padu terhadap perniagaannya selama ini.

Difahamkan, tahun 2025 akan menandakan tahun kelima operasi perniagaan beliau.

Selain sijil Halal, syarikat Khairul Aming juga telah memperoleh sijil MeSTI daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Februari lalu.

BACA: Ramai ambil mudah dengan penyakit Pneumonia, punca kematian nombor 1! Pneumonia itu penyakit apa?