Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berkata industri pelancongan yang bernilai jutaan billion ringgit kini dalam keadaan tenat dan memerlukan pelan tindakan “luar kotak” untuk menyelamatkannya daripada kesan Covid-19.
Beliau menggesa kerajaan mengkaji semula pendekatannya kerana “inisiatif yang dilaksanakan sekarang ini nyata tidak berkesan (menyebabkan) pemain industri masih terkapai-kapai dan merintih meminta pertolongan”.
Daim menegaskan kebanyakan ahli perniagaan kini berdepan dengan konflik dengan institusi kewangan masing-masing, khususnya berhubung isu memperolehi moratorium pembayaran balik pinjaman.
“Ini semua mesti dihentikan sebelum masalah ini menjadi kerosakan kekal. Bank mampu untuk menanggung moratorium. Apakah alternatifnya?
“Adakah bank mahu memiliki aset fizikal yang pada akhirnya tidak memberi apa-apa nilai kepada mereka kelak?” soal Daim.
Pandemik Covid-19 dilaporkan menjejaskan industri pelancongan dengan anggaran kerugian melebihi RM100 bilion tahun lalu.
Puluhan agensi pelancongan juga gulung tikar, sejak negara dilanda Covid-19 yang melumpuhkan pelancongan antarabangsa dan domestik.
CEO Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng, menyifatkan pakej PERMAI RM15 bilion yang diumumkan kerajaan meminggirkan pemain utama dalam industri pelancongan.
Daim berkata sebarang bantuan kerajaan harus berupaya memastikan ketahanan industri pelancongan berdepan dengan wabak Covid-19.
Antara cadangan Daim adalah pelaksanaan cukai baharu bagi membantu perniagaan yang mengalami kerugian kembali pulih dalam jangka waktu lebih cepat.
Menurut bekas menteri itu, langkah berkenaan akan membolehkan pulangan cukai dikembalikan kepada pemain industri dan membantu memperbaiki aliran tunai mereka.
Daim turut menggesa supaya semua pemain industri dibenarkan membawa baki kerugiaan perniagaan ke depan tanpa had masa seperti yang dilaksanakan di United Kingdom dan Singapura, atau sekurang-kurangnya 20 tahun seperti yang diamalkan di Kanada.
“Ini adalah salah satu cara untuk mengurangkan masalah aliran tunai yang dihadapi perniagaan,” kata beliau. Ketika ini ahli perniagaan hanya dibenarkan berbuat demikian untuk 7 tahun.
Mengenai isu moratorium, Daim menegaskan sektor pelancongan harus diberikan moratorium yang melibatkan pembayaran kepada institusi kewangan, agensi kerajaan, dan juga syarikat kaitan kerajaan (GLC).
“Ini bukan pengecualian tetapi penangguhan. Ini akan membolehkan sektor tersebut lebih fokus kepada mengatur langkah ke arah usaha pemulihan dan untuk bertahan sepanjang tempoh pandemik ini,” kata beliau.
Daim berkata moratorium yang ditawarkan sebelum ini adalah untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Untuk syarikat lain pemberian moratorium bergantung kepada syarat tertentu yang tidak dihebahkan dengan berkesan.
“Penghebahan yang kabur (mengenai moratorium) menimbulkan kekeliruan menyebabkan pemain industri membazirkan wang dan tenaga berurus dengan peminjam untuk mengetahui sama ada mereka layak diberikan moratorium,” kata Daim.
Daim berkata kerajaan boleh memperkenalkan pelbagai langkah memperbaiki aliran tunai perniagaan tanpa melibatkan peruntukan tambahan atau bajet baharu.
“Pengecualian, penangguhan, dan tempoh lanjutan (pembayaran pinjaman) yang diberi memberikan impak yang besar (kepada industri pelancongan), selain mengembalikan keyakinan pelabur,” kata beliau.
Daim berkata, memang jelas bahawa industri pelancong akan mengambil masa yang paling lama untuk kembali pulih, berbanding sektor lain.
Malaysia mengalami penurunan kedatangan pelancong sebanyak 78.6% antara Januari dan September tahun lalu berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu kerana wabak Covid-19.
Negara hanya mencatat 4.29 juta kedatangan pelancong dalam tempoh tahun ini berbanding 20.1 juta pada tahun 2019.
Laporan sebelum ini menyebut industri pelancongan menyumbang 14.1% (RM166 bilion) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2015; 14.5% (RM182 bilion) pada 2016; 14.6% (RM201 bilion) untuk 2017; 15.2% (RM220 bilion) bagi 2018 dan 15.9% (RM240 bilion) pada 2019.
Daim berkata sektor pelancongan hanya akan kembali apabila lengkung kes Covid 19 dapat diratakan, vaksin diagihkan , perjalanan rentas negeri dibenarkan dan juga sempadan negara dibuka, kata beliau.
Justeru, Daim berkata insentif berkaitan potongan dan pengecualian cukai yang diberikan harus dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga 2022.
“Sebagai langkah berjaga-jaga adalah sangat penting untuk mengelakkan peningkatan kes yang tersebar akibat dari kes tempatan.Ini akan memberi kesan ke atas pemulihan sektor pelancongan,” kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Daim berkata kerajaan dan majikan hendaklah mempunyai pelan tindakan segera bagi melatih pekerja industri sebagai langkah menyelesaikan isu pengangguran yang semakin meningkat.
“Sebagai contoh di UK dan Eropah , pramugari dilatih untuk bekerja bersama petugas kesihatan, para doktor dan jururawat bagi menangani Covid 19.
“Pekerja industri pelancongan seharusnya mengubah pandangan mereka ke bidang lain. Sebagai contoh, perkhidmatan di pusat jagaan orang tua, memandangkan terdapat keperluan bagi mengisi jawatan tersebut seiring dengan peningkatan umur rakyat di negara ini,” kata beliau.
“Kita tahu usaha untuk mengagihkan vaksin juga memerlukan tenaga kerja yang besar. Ini boleh menjadi salah satu bidang pekerjaan baharu kepada mereka yang menganggur,” tambah Daim.
Selain itu , tugas sebagai pembantu tenaga pengajar juga dilihat relevan pada ketika ini.
Menyedari hakikat kesukaran untuk pembelajaran norma baharu, Daim berkata pembantu guru dilihat bukan sahaja dapat meringankan beban guru tetapi juga ibubapa yang sukar menyesuaikan kaedah pelbelajaran dalam talian yang terpaksa dijalani kini.
“Ada banyak perkara yang boleh dilaksanakan. Baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang. Berfikirlah di luar kotak.Keadaan luarbiasa seperti ini memerlukan penyelesaian yang luar biasa juga,” kata Daim.