Ustaz bergelar ‘Datuk’ diburu Bank Negara, rupanya ini punca dia diburu

Oleh GEMILANGDAILY

Ustaz bergelar ‘Datuk’ diburu Bank Negara, rupanya ini punca dia diburu. Seorang ustaz yang mengaku bergelar Datuk, antara enam individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kes penipuan skim cepat kaya

pengambilan deposit secara haram membabitkan penyelewengan mencecah RM200 juta sejak Disember 2008.

Suspek, Harun Mat Saat, 45, yang beralamat terakhir di 70, Rumah Murah Kos Rendah, Telaga Daeng Satu, Seberang Takir, Kuala Terengganu dipercayai menjadi dalang bagi ‘projek pelaburan’ dijalankan syarikatnya, Dina Group Sdn Bhd.

Ustaz bergelar 'Datuk' diburu Bank Negara, rupanya ini punca dia diburu

DIKEHENDAKI…(dari kiri), M Bakri, Dahlan David, Ramunatul Aida, Abd Halim dan Zainal diburu BNM berhubung penipuan skim cepat kaya.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, dua ahli lembaga pengarah syarikat terbabit ditahan dan sedang menjalani proses perbicaraan.

“Bagaimanapun, Harun dan dua lagi pengarah syarikat itu iaitu M Bakri Kamaruddin, 50, dan Zainal Md Yusof, 47, melarikan diri dan gagal dikesan hingga kini.

“Siasatan mendapati akaun ketiga-tiga mereka memiliki wang tunai RM200 juta, menyebabkan akaun mereka kini dibekukan BNM,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Ibu Pejabat BNM.

Rugi RM60,000

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu ghairah mendapat keuntungan sekelip mata, seorang peniaga dan bekas nelayan sanggup menjual bot miliknya sebelum wang itu dilaburkan terhadap sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kes penipuan skim cepat kaya dan penyelewengan wang mencecah RM200 juta sejak tiga tahun lalu.

Amir Sahat, 47, berkata dia kerugian RM60,000 dan wang itu kononnya dilaburkan bersama syarikat milik seorang ‘lebai’, turut dikenali sebagai ‘Ustaz Harun’ yang didakwa menjalankan perniagaan besar dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perkapalan.

“Konco ‘ustaz’ berkenaan bergerak di seluruh negeri pantai timur dan utara dengan bernaung di bawah nama sebuah persatuan. Saya pernah menghadiri satu program yang mereka adakan di Stadium (Sultan Mohammed Ke-IV) sekitar 2008.

“Lagak mereka memang seperti ahli perniagaan hebat, mereka turut menjanjikan pulangan berlipat kali ganda jika melaburkan wang bersama syarikat ‘ustaz’ berkenaan,” katanya kepada Metro Ahad.

Amir yang berasal dari Kedah berkata, mulanya dia melabur RM20,000 dan setiap minggu menerima pulangan RM130 sebagaimana dijanjikan syarikat berkenaan sebagai jumlah keuntungan bulanan.

Untuk menggandakan pendapatan bulanannya, Amir berkata, dia melaburkan lagi wang RM40,000.

“Saya ingatkan pendapatan akan bertambah, sebaliknya setiap sen daripada pelaburan selepas itu lesap begitu saja. Mereka menghilang dan sukar dihubungi selepas itu.

“Saya pernah cuba membuat laporan polis, namun keluarga menghalang, lagi pun tiada dokumen dan surat ‘hitam putih’ sebagai bukti yang boleh mengesahkan penipuan mereka,” katanya.

Muka depan akhbar ini semalam melaporkan, seorang ‘ustaz’ yang mengaku bergelar Datuk, antara enam individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kes penipuan skim cepat kaya dan pengambilan deposit secara haram membabitkan penyelewengan mencecah RM200 juta sejak Disember 2008.

Suspek utama, Harun Mat Saat, 45, yang kali terakhir dikesan di Kuala Terengganu, dipercayai menjadi dalang bagi ‘projek pelaburan’ dijalankan syarikatnya, Dina Group Sdn Bhd.

Selain Harun, dua lagi pengarah syarikat itu, M Bakri Kamaruddin, 50, dan Zainal Md Yusof, 47, turut diburu dan masih gagal dikesan hingga kini.

Turut menjadi buruan BNM, Abdul Halim Rafii, 51, dari Nilai, Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan penipuan ternakan lembu membabitkan pelaburan orang ramai bernilai RM48 juta.

Selain itu, pasangan suami isteri, Dahlan David Abdullah, 46, dan Ramunatul Aida Rahmat, 43, masih dicari berkaitan penipuan membabitkan pelaburan saham bagi menjana modal Syarikat Jazmeen (M) Sdn Bhd.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Madi, 42, dan pernah bertemu Ustaz Harun menyifatkannya sebagai individu yang bijak bermain kata-kata, malah mampu meyakinkan sesiapa saja menerusi penggunaan ayat al-Quran dan hadis.

“Segala dituturnya penuh dengan keyakinan sehingga berjaya mengumpul pengikut setianya. Beberapa kali dia menangis di atas pentas mahu membantu orang miskin dan memulihkan ekonomi orang Islam.

“Dia (Harun) mendakwa insan terpilih untuk memimpin masyarakat. Ramai yang teruja apabila Harun bijak berhujah dan menjawab pelbagai persoalan berkaitan ketuhanan,” katanya yang lebur ratusan ribu ringgit.

Menurut Madi, apabila mengadakan pertemuan, Harun gemar tampil dengan imej selekeh, tetapi sebaliknya dia bergaya ala selebriti di luar dengan pakaian berjenama dan deretan kereta mewah seperti BMW.

“Dalam beberapa siri ceramahnya, Harun mendakwa mempunyai wang simpanan berbilion ringgit yang tidak akan habis digunakan sehingga beberapa generasi menerusi puluhan cabang perniagaan yang diuruskannya.

“Dia mengakui mampu membayar semula pelaburan yang dibuat jika berlaku sesuatu kepadanya. Namun, semuanya dusta apabila dia menghilangkan diri selepas pelaburan dianjurkannya menyalahi undang-undang,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Maisara, 37, berkata, Harun masih cuba meyakinkan pelabur bahawa dia akan memulangkan semula wang diambilnya penghujung Oktober lalu.

“Dia menggunakan pengikut yang taksub kepadanya. Maklumat terbaru disebarkan kononnya dia akan bayar semula wang pelabur 31 Oktober lalu, tetapi semuanya dusta. Dia terus menghilangkan diri,” katanya.

 

Individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kes penipuan membabitkan kerugian RM200 juta, Harun Mat Saat, 45, dipercayai menggunakan alamat palsu bagi mengelak diburu pihak berkuasa ketika menjalankan kegiatan.

Malah, lelaki menggelarkan dirinya ‘Datuk’ yang juga perancang utama dalam menjalankan kegiatan berkenaan bersama empat rakan, termasuk dua yang masih menjadi buruan polis itu, dikatakan tidak pernah menetap di alamat 70, Rumah Murah Kos Rendah, Telaga Daeng Satu, Seberang Takir, di sini sebagaimana dimaklumkan BNM kepada akhbar ini sebagai alamat terakhir lelaki terbabit.

Tinjauan Metro Ahad ke kawasan berkenaan mendapati alamat terbabit tidak wujud di tiga perumahan kos rendah di situ yang dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu Rumah Murah Kos Rendah, Rumah Murah Nelayan dan Rumah Teres Kos Rendah Telaga Daeng yang dibina secara berperingkat bermula sejak 1969.

Malah, tinjauan dibuat di kawasan Rumah Murah Kos Rendah mendapati tiada rumah bernombor 70 di kawasan itu, sebaliknya perumahan di situ menggunakan nombor tiga angka.

Penduduk, Mohamad Abdullah, 60, berkata, dia tak pernah mengenali lelaki itu atau mendengar nama syarikatnya, Dina Group Sdn Bhd.

“Sejak tinggal di sini pada 1979, saya tidak pernah melihat atau mengenali lelaki ini (Harun) dan percaya dia orang luar yang menggunakan alamat berkenaan untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya yang yakin lelaki terbabit menggunakan alamat palsu.

Dia berkata, sebelum ini jirannya pernah didatangi anggota polis yang bertanyakan mengenai alamat rumah terbabit tahun lalu dan percaya ia bertujuan mengesan jejak lelaki terbabit.

Pemandu bot penambang, Zakaria Ibrahim, 65, berkata, dia juga percaya lelaki terbabit menggunakan alamat palsu kerana sepanjang tinggal di kawasan itu, dia tidak pernah mengenali lelaki itu.

“Saya tinggal di sini sejak 1975 dan tidak pernah mendengar ada orang bercerita mengenai lelaki terbabit atau kegiatan penipuan membabitkan skim cepat kaya di kawasan perumahan ini,” katanya yang menetap di kawasan Rumah Murah Nelayan, terletak kira-kira 500 meter dari Rumah Murah Kos Rendah dan Rumah Teres Kos Rendah Telaga Daeng, di sini.

 

Kaki belit sasar ustaz, ustazah

Ustaz Harun atau Harun Mat Saat yang dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kes penipuan skim cepat kaya mencecah RM200 juta dipercayai turut memiliki sebuah syarikat jet persendirian di Pekan, Pahang, selain deretan kereta mewah termasuk Nissan FairLady, Subaru Impreza, Toyota Alphard dan BMW.

Difahamkan, semua aset mewah itu digunakan ahli lembaga pengarah Dina Group Sdn Bhd (Dina Group), milik Harun, 45, ketika berurusan dengan pelabur baru syarikat berkenaan yang memulakan operasi perniagaan pada 2006.

Perkara itu didedahkan seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Ustaz Zul, 36, yang mendakwa pernah beberapa kali bertemu Harun ketika terbabit dalam pelaburan skim cepat kaya diperkenalkan Dina Group.

“Melihatkan penampilannya yang meyakinkan selain bijak bermain kata-kata dan emosi sehingga menitiskan air mata menceritakan kesusahan dilalui, semua peserta yang menghadiri seminar atau bengkel seolah-olah ‘dipukau’ sehingga sanggup mendaftar sebagai ahli.

“Saya difahamkan Ustaz Harun bukan saja warak, malah turut bergiat aktif sebagai penceramah agama di sekitar pantai timur sebelum menjalankan perniagaan,” kata yang melabur sehingga RM100,000 antara Oktober 2008 hingga Mac 2009.

Artis terpalit tarik pelabur

Penganjuran konsert membabitkan artis popular tanah air antara taktik licik Ustaz Harun atau Harun Mat Saat untuk menarik orang ramai melabur dalam skim cepat kaya dianjurkan syarikatnya, Dina Group Sdn Bhd (Dina Group).

Akibatnya, artis turut menjadi mangsa lelaki berusia 45 tahun itu yang kini menduduki senarai teratas individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) membabitkan penyelewengan wang kira-kira RM200 juta.

Bekas penyampai radio popular, Isma Halil Hamzah, berkata selainnya lebih 20 artis mendaftar sebagai ahli dan menjayakan Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani di Stadium Malawati Shah Alam pada pertengahan April 2009.

USTAZ HARUN…diburu BNM

Menurut Isma Halil yang bertindak sebagai pengacara pada konsert itu, antara artis yang membuat persembahan ialah Amy Search, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Mawi, Yantzen, Rahmat (Mega) dan Nazrey (bekas vokalis Raihan).

“Kami tidak menyangka konsert itu mempunyai agenda tersembunyi dan lebih mengecewakan artis yang membuat persembahan langsung tidak menerima bayaran seperti dijanjikan.

 

Pekerja lebai tidur atas duit

“Saya bukan saja pernah membawa wang RM300,000 dalam beg plastik yang dibimbit menaiki kapal terbang untuk diagihkan kepada pelabur di Sarawak, malah tidur saya juga beralaskan duit RM50 dan RM100,” kata bekas pekerja Dina Group Sdn Bhd (Dina Group) yang hanya mahu dikenali sebagai Johan.

Menurut Johan, 28, yang berasal dari Kedah, sepanjang berkhidmat bersama pengasas Dina Group, Ustaz Harun atau Harun Mat Saat, 45, yang kini diburu Bank Negara Malaysia (BNM) kerana mengambil pelaburan haram lebih RM200 juta, dia tidak pernah melihat mereka memasukkan wang tunai yang diterima daripada pelabur ke dalam bank.

Sebaliknya, Johan berkata, Ustaz Harun akan menyimpan wang yang mencecah jutaan ringgit itu dalam sebuah bilik khas di rumahnya di Shah Alam atau di rumah orang kanannya yang terletak berhampiran.

“Mereka akan kira secara manual dan kebiasaannya kami yang berada di situ diarahkan untuk berbuat demikian sebelum menyusun kepingan wang terbabit di dalam beg kembara (luggage) berwarna hitam,” katanya.

Johan berkata, kebiasaannya pengiraan wang hibah (keuntungan) yang akan diberikan kepada pelabur akan dibuat di hotel mewah di negeri di mana wang itu akan diedarkan kepada pelabur.

 

Ustaz Harun lucah

KUALA LUMPUR: Bukan hanya mengaku dirinya jelmaan Imam Mahdi dan berkuasa mengalih posisi bulan, bintang dan matahari, malah Ustaz Harun tanpa segan silu beraksi ‘panas’ ketika menyampaikan ucapan atau syarahan kepada pengikutnya.

Perbuatan itu mencurigakan beberapa pengikut, tetapi peliknya kebanyakan mereka seolah-olah boleh menerima dakwaan dan perbuatan lelaki terbabit.

Ustaz Harun atau Harun Mat Saat, 45, paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) bersama lima individu lain kerana dipercayai terbabit kes penipuan skim cepat kaya dan pengambilan deposit secara haram membabitkan penyelewengan bernilai ratusan juta ringgit. Setakat ini, asetnya bernilai RM200 juta dibekukan BNM.

MEWAH…bangunan markas pengikut Ustaz Harun.

Bekas pengikut, Kalam Abdullah, 30, berkata semua ucapan yang didakwa lelaki itu sebagai syarahan agama mempunyai isi kandungan cerita lucah dan seks.

“Dia tanpa segan silu menyebut perkataan tidak senonoh dan beraksi ‘panas’ di depan kami walhal kelas itu dihadiri wanita dan topik yang dibincangkan tidak relevan dengan hal agama.

“Lebih menghairankan, sepanjang menjadi pengikutnya saya tak pernah melihat dia menunaikan solat dan sering menolak ajakan kami dengan pelbagai alasan,” katanya.

12,000

Akibat tertarik dengan segala kemewahan termasuk ditawarkan gaji RM12,000 sebulan dan menginap di hotel tujuh bintang ketika bertugas di luar kawasan, meyakinkan seorang pemuda bertugas bersama Dina Group Sdn Bhd (Dina Group) kira-kira tiga tahun lalu.

Pada usianya ketika itu baru menjangkau 20 tahun, bekas pekerja Dina Group yang hanya mahu dikenali sebagai Wan berkata, dia tidak dapat menolak tawaran menarik sedemikian.

Selain tawaran mewah itu, Wan turut mendakwa dia tertarik berkhidmat dengan Dina Group kerana yakin terhadap urus niaga dijalankan apabila melihat perwatakan alim ditunjukkan pengasas syarikat itu, Ustaz Harun atau Harun Mat Saad.

“Ketika itu, saya sedang menuntut di sebuah pusat pengajian kemahiran dan terpaksa mengambil keputusan berhenti belajar sebelum berkhidmat sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan syarikat berkenaan.

“Tugas saya waktu itu adalah mencari seberapa ramai pelabur untuk syarikat terbabit,” katanya yang kini bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang, di sini.

Ustaz Harun, 45, sebelum ini dinamakan sebagai individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) bersama lima individu lain kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan skim cepat kaya dan pengambilan deposit secara haram membabitkan penyelewengan bernilai ratusan juta ringgit.

Menurut Wan lagi, setiap pelabur ditawarkan pelaburan kadar paling minimum RM5,000 seorang dan pada waktu itu, dia mampu mendapatkan individu melabur sehingga RM150,000.

Katanya, dia berjaya menarik seramai 55 pelabur untuk membuat pelaburan di Dina Group itu sepanjang berkhidmat dengan syarikat berkenaan membabitkan kutipan wang menjangkau RM407,000.

“Saya cukup gembira ketika itu kerana pada usia cukup muda sudah mampu hidup mewah dengan gaji lumayan yang diberikan.

“Pelaburan ketika itu juga bertambah tanpa saya mengesyaki sebarang kegiatan tidak elok berlaku,” katanya.

Menurut Wan, dia juga pernah dibawa mengikut rombongan syarikat itu ke China dan Brunei kononnya untuk melawat perusahaan dijalankan di negara itu.

Katanya, dia dan beberapa pekerja lain juga diminta menyewa bilik hotel bertaraf tujuh bintang jika melakukan tugasan luar kawasan.

“Saya bersama lima orang rakan sekerja juga pernah membawa wang tunai RM15 juta yang dimasukkan ke dalam beberapa buah beg pakaian dari Kuala Lumpur ke Kelantan untuk diagih kepada pelabur.

“Perjalanan syarikat berkenaan lancar hinggalah pada awal 2010, saya secara tiba-tiba diberhentikan dengan alasan akaun bank Dina Group dibekukan dan tidak mampu untuk membayar gaji pekerja lagi.

“Sejak hari itu, hidup saya tertekan kerana menerima banyak panggilan dari pelabur yang bertanyakan duit pelaburan mereka,” katanya.

Menurut Wan yang berasal dari Kelantan, dia terpaksa melarikan diri dari negeri kelahirannya itu kerana sentiasa diburu dan menerima ugutan daripada pelabur selepas mengetahui penyelewengan dilakukan Uztaz Harun.

BACA:

“Tuan Haji datang page Shima ni nak tengok video gelek ke?”, Pemuda Pas kena sekolah dengan Baby Shima

Didakwa seleweng dana projek Jana Wibawa, ini respon Wan Saiful Wan Jan