Vaksin Covid-19 : MB Kedah sedia jadi orang pertama terima suntikan

Vaksin Covid-19 : MB Kedah sedia jadi orang pertama terima suntikan

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, bersedia menjadi orang pertama dalam kumpulan terawal menerima suntikan vaksin bagi meyakinkan rakyat mengenai tahap keselamatan vaksin Covid-19.

Katanya, pimpinan lain turut perlu bersedia menerima suntikan vaksin COVID-19 agar orang ramai tidak merasa takut.

“Saya bersedia menjadi orang kumpulan awal untuk menerima suntikan vaksin.

“Kerajaan telah membuat penelitian paling rapi untuk memilih jenis vaksin untuk dibawa masuk ke Malaysia ini… kita bersedia untuk menjadi kumpulan awal menerima suntikan,” ujarnya.

Katanya, pemimpin kerajaan menjadi barisan pertama menerima suntikan amat penting bagi meyakinkan rakyat bahawa suntikan itu perlu bagi mengekang penularan COVID-19.

Malah katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana majlis fatwa dan agama negeri telah mengeluarkan arahan bahawa suntikan vaksinansi itu adalah harus demi kesihatan dan keselamatan.

“Para ulamak pun telah memfatwakan vaksinasi ini dari segi hukum syarak adalah harus, tapi dari segi kesihatan adalah kewajipan untuk menghadapi pendamik COVID-19 yang kita tak tahu kesudahannya bila. Sebaik-baiknya kita bersedialah untuk divaksinasikan,” katanya lagi.

Muhammad Sanusi ditemui selepas menyempurnakan Penyampaian Dividen Ladang Sejahtera, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Charuk Tualang dekat Sik, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Pada majlis itu, seramai 50 peserta Projek Ladang Sejahtera KEDA di Bendang Man, Sik menerima dividen berjumlah RM300 setiap seorang.

Peningkatan kes penularan COVID-19 di Kedah banyak disumbangkan oleh kes import dari negeri lain termasuk penularan wabak itu di dalam penjara.

Kadar kebolehjangkitan (R-naught) di negeri ini lebih rendah iaitu 0.9 berbanding kadar nasional 1.2 pada ketika ini.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/mb-kedah-sedia-jadi-orang-pertama-terima-suntikan-vaksin-covid19-282531