[VIDEO] GEMPAR | Penduduk kampung selamatkan bot petugas KKM terbalik, Noor Hisham ucap terima kasih

[VIDEO] GEMPAR | Penduduk kampung selamatkan bot petugas KKM terbalik, Noor Hisham ucap terima kasih

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham menzahirkan rasa terima kasih kepada penduduk Kg Bantal, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang kerana membantu menyelamatkan bot yang dinaiki petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tenggelam kerana banjir.

Dalam kejadian itu, bot yang dinaiki tiga petugas KKM ditenggelami air ekoran hujan lebat sejak tiga hari lalu.

“KKM ingin menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada penduduk Kg Bantal, Ulu Tembeling kerana membantu menyelamatkan bot yang terbalik dan berjaya menyelamatkan 3 petugas kesihatan,” katanya di Facebook hari ini.

Noor Hisham berkata, itulah risiko yang dihadapi setiap petugas kesihatan barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.

Klip video yang disertakan di laman Facebooknya menunjukkan penduduk kampung membantu membuang air dari bot KKM yang tenggelam.

“Inilah risiko setiap petugas kesihatan barisan hadapan memberikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia di kawasan pendalaman. Semoga segala pengorbanan diberkati dan menjadi sebahagian usaha fisabiliLlah,” katanya.

Dalam pada itu, KKM menasihati mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) agar sentiasa menjaga kesihatan kendiri, mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Noor Hisham berkata, dalam situasi negara masih dilanda pandemik COVID-19, keadaan sesak seperti di PPS boleh meningkatkan risiko penularan penyakit.

“Sehubungan itu, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu oleh semua mangsa banjir di PPS perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua agensi yang terlibat.

“Selain itu, mangsa banjir juga perlu memaklumkan kepada anggota kesihatan jika bergejala dan patuh kepada lain-lain arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/20/penduduk-kampung-selamatkan-bot-petugas-kkm-terbalik-noor-hisham-ucap-terima-kasih/