Wakil rakyat masuk senarai penerima vaksin terawal di Kedah

Wakil rakyat masuk senarai penerima vaksin terawal di Kedah

Semua wakil rakyat di negeri ini tergolong dalam senarai 25,000 penerima pertama vaksin di Kedah selain petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan polis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, penyusunan jadual penerimaan vaksin tersebut akan ditentukan Jabatan Kesihatan negeri.

“Selain pusat kesihatan, ada dewan-dewan tertentu yang akan kita gunakan untuk memberi suntikan vaksin tersebut antaranya dewan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Dewan Wawasan di Jitra.

“Semua dos vaksin tersebut akan disimpan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) II di Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi yang memiliki kemampuan menyimpannya pada suhu diperlukan iaitu -80 darjah Celsius sebelum diedar ke pusat-pusat kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai dekat sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Fikri Ujang menerusi satu kenyataan memaklumkan, pemberian suntikan vaksin di negeri ini akan dilaksanakan oleh seramai 768 kakitangan kesihatan terlatih dikenali sebagai ‘vaccinator’.

Katanya, kumpulan itu telah diberi latihan secara dalam talian dan amali di pusat tanggungjawab masing-masing selain menjalani beberapa simulasi sebelum ini di klinik kesihatan serta hospital.

“Dos-dos vaksin tersebut yang disimpan di pusat simpanan vaksin (PSV) di Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi akan diagihkan ke 46 pusat pemberian vaksin (PPV) di semua daerah dalam negeri ini.

“Akan sentiasa ada kawalan keselamatan terhadap vaksin-vaksin itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” tambahnya.

Berita Penuh :https://www.utusan.com.my/berita/2021/02/wakil-rakyat-penerima-pertama-vaksin-di-kedah/