Walau dipenjarakan, majlis perkahwinan tetap berjalan, ini kisah wanita setia kahwini kekasih dalam penjara
Seorang wanita di wilayah Jambi, Indonesia membuktikan kesetiaan cintanya dengan mengahwini kekasihnya
ketika lelaki itu menjalani hukuman penjara, lapor portal berita Wolipop.
Berdasarkan klip video tular di media sosial yang dikongsikan seorang pegawai perhubungan awam Polis Jambi, pasangan pengantin itu pada awalnya dilihat menuju ke masjid untuk melangsungkan pernikahan pada 4 Ogos lalu.
Mereka turut ditemani ibu bapa masing-masing dengan ibu pengantin lelaki dilihat tidak berhenti mengalirkan air mata.
“Saya rasa terharu kerana pertama kali melihat pernikahan berlangsung di penjara. Tiada seorang pun ibu bapa yang mahu melihat anaknya berkahwin di sebalik jeriji besi,” kata pegawai bernama Eko Putra itu.
Sementara itu, pengantin perempuan yang mengenakan persalinan pengantin mengikut adat Sunda pula dilihat begitu anggun dan tenang.
“Tidak ada seorang wanita pun yang berfikir bahawa hari bersejarahnya akan berlangsung di tempat yang tidak diingini. Namun, mereka perlu melakukan apa yang ditakdirkan untuk hidup mereka,” kata Eko Putra.
Selepas pasangan tersebut sudah sah menjadi suami isteri, wajah mereka terpancar kegembiraan dan kelegaan.
“Mereka berhak bahagia. Semoga ujian ini dapat menjadikan hidup anda berdua lebih baik pada masa hadapan. Sangat terharu melihat perjuangan mereka dan terima kasih kepada Polis Jambi kerana memberi peluang kepada pasangan ini (untuk berkahwin),” tambahnya.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Kepada yang sering berkata bahawa tidak ada perempuan yang mahu menemani lelaki di saat susah, ini buktinya,” kata seorang pengguna.
“Wanita ini sangat hebat kerana masih mahu menerima si lelaki yang menjalani hukuman penjara 15 tahun. Ia satu tempoh yang sangat lama,” kata netizen lain
BACA; Warga emas kira duit tepi jalan sebelum beli superbike, duit bawa dengan guni je!