Seolah-olah MITI pula sudah jadi sebuah “super Ministry”, tegur Shahrir

Seolah-olah MITI pula sudah jadi sebuah “super Ministry”, tegur Shahrir

Pagi semalam saya terbaca soal jawab untuk menerangkan bagaimana kerajaan akan mengembalikan kegiatan ekonomi secara terancang mengikut sektor dan bidang tertentu.

Semasa perancangan kerajaan ini mula2 diumumkan, kedai gunting telah dibenarkan kembali beroperasi tetapi ia dibantah hebat dalam media sosial. Bantahan turut datang dari persatuan perniagaan tersebut.

Sebenarnya, pemilihan kedai gunting rambut dilakukan kerana mengikut pemantauan terhadap media sosial, ramai pihak yang mengeluh kerana kedai2 gunting telah tutup. Hanya kerajaan tidak dapat menilai ‘quality’ perbualan media sosial itu. Apa yang pasti hanyalah ‘quantity’ perbualan itu.

Kerana itu, teknologi perlu juga kepada analisa manusia dan tidak diterima bulat-bulat segala hasil penggunaan teknologi. Kemampuan manusia berfikir dan menganalisa data dari penggunaan teknologi tetap terbukti.

Olih itu, saya tidak terperanjat apabila berlakunya ‘u-turn’ atau pembatalan keputusan yang telah dibuat olih MITI sebagai kementerian yang diumumkan bertanggungjawab dalam strategi memulakan kegiatan2 ekonomi negara.

Tapi MITI nak terlibat dengan tukang gunting?

Berbalik kepada apa yang telah saya terbaca dalam akhbar The Star pagi tadi, saya memang hairan mengapa perniagaan/perusahaan yang telah mendapat kebenaran dari kementerian2 lain masih perlu dapatkan kelulusan MITI.

Mengapa harus MITI terlibat setelah sesebuah perniagaan/perusahaan mendapat kelulusan kementerian yang relevan bagi perniagaan/perusahaan itu?

Bukankah ini menimbulkan pertindihan tanggungjawab mengumpul data kerana MITI sepatutnya tertumpu kepada sektor2 indastri dan ekspot barangan pembuatan.

Mampukah MITI ikut kepakaran serta keupayaan kementerian itu untuk mendaftar dan kemudian memantau kesemua perniagaan/perusahaan yang beribu-ribu memohon kelulusan untuk beroperasi?

Saya akui DS Azmin Ali ialah menteri kanan yang terkanan. Sungguhpun begitu, MITI tetap MITI juga dan peranan dan tanggungjawab tidak mampu diubahkan semenjak DS Azmin menjadi menterinya.

Sudahlah saya berasa lega bukan DS Azmin yang mengadakan sidang media yang dikendalikan olih DS Ismail Sabri. Ianya kerana kecenderungan DS Azmin mengguna perkataan2 besar atau “bombastic words”.

Dah baguslah tu. Tapi mengapa MITI hendak menguasai sektor2 ekonomi yang di luar bidang tanggungjawabnya sendiri?

Seolah-olah MITI pula sudah jadi sebuah “super Ministry” dibawah seorang tokoh politik yang “bombastic”. Kalau itu tujuannya, gabung sahajalah MITI dengan KPDNKK, KKR dan KPU. Dan letakkan dua menteri itu dibawah DS Azmin Ali dalam satu “super-ministry”!

Barulah jelas logiknya.

Kalau tidak, ianya pelik.

Sumber :