Wanita dihina mandul oleh rakan sendiri, netizen doa Allah hadirkan nyawa dalam rahimnya buat ramia sebak

Oleh ZULAIKHA ABBAS

Memiliki zuriat sering menjadi dambaan bagi pasangan yang telah mendirikan rumah tangga.

Anak-anak dianggap sebagai penyeri kehidupan, penyambung kasih sayang antara suami isteri.

Namun, tidak semua pasangan dikurniakan rezeki anak pada usia awal perkahwinan.

Ada yang perlu menanti bertahun-tahun, malah hingga belasan tahun, sebelum akhirnya diberi peluang menimang cahaya mata.

Lambat atau cepat, rezeki adalah ketentuan Allah yang tidak sepatutnya menjadi alasan untuk manusia mencemuh atau menghukum pasangan yang belum dikurniakan zuriat.

Wanita dihina mandul oleh rakan sendiri, netizen doa Allah hadirkan nyawa dalam rahimnya buat ramia sebak

Perjalanan Wanie Mencari Cahaya Mata

Noorezwani Abdul Halit, 31, pernah menjadi mangsa cercaan hanya kerana belum memperoleh anak walaupun sudah tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Apa yang lebih memilukan, kata-kata tersebut datang daripada rakan sendiri, termasuk mereka yang baru berkahwin tetapi sudah dikurniakan anak.

“Kawan-kawan sindir, kata mereka baru kahwin dah ‘lekat’, sedangkan saya dan suami sudah lama kahwin tetapi masih belum ada anak. Ada juga yang melabel saya sebagai mandul,” luahnya dengan nada sebak.

Usaha dan Ikhtiar
Bersama suaminya, Muhammad Fazli, Wanie telah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat, termasuk rawatan tradisional dan moden. Mereka juga menjalani dua sesi rawatan IUI (Intrauterine Insemination) pada Oktober 2020 dan Oktober 2021.

“Doktor mengesahkan saya mempunyai PCOS (Sindrom Ovari Polisistik), menyebabkan haid saya tidak teratur. Doktor menyarankan saya menurunkan berat badan untuk memudahkan kehamilan,” jelasnya.

Sepanjang perkahwinan, Wanie pernah hamil sebanyak tiga kali, tetapi semuanya berakhir dengan keguguran. Kehamilan pertama berlaku pada 2016, setahun selepas berkahwin, diikuti yang kedua pada 2017, dan yang terakhir pada awal tahun lalu.

Menumpang Kasih
Walaupun belum dikurniakan zuriat sendiri, Wanie dan suaminya berbesar hati menumpang kasih dengan menjaga anak asuhan. Sejak tahun pertama perkahwinannya, Wanie mengambil upah sebagai pengasuh.

“Anak-anak asuhan semua rapat dengan saya dan suami. Ada seorang yang istimewa kerana dia menumpang kasih dengan kami selepas ibu bapanya berpisah. Kami juga tumpang kasih dengannya,” katanya.

Kisah Wanie yang dikongsikan di TikTok mengundang simpati ramai. Warganet tidak putus-putus mendoakan pasangan itu diberi rezeki menimang cahaya mata.

“Untung anak asuhan itu mendapat pengasuh yang menyayanginya seperti anak sendiri. Semoga awak dan suami dikurniakan zuriat,” tulis seorang pengguna.

“Insya-Allah, berkat menjaga anak orang, doa awak akan diangkat. Mudah-mudahan Allah kurniakan rezeki untuk menjadi ibu,” tambah seorang lagi.

Zuriat adalah anugerah yang sangat diidamkan, namun kasih sayang dan usaha yang tidak pernah putus adalah bukti kecekalan pasangan ini dalam menempuh cabaran hidup.

BACA: Cari pelanggan di WeChat, pelacur di Terengganu caj RM350 setiap langganan