Wanita gagal tuntut KWSP arwah suami untuk faraid hanya kerana terlepas pandang 1 perkara ini

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Keputusan itu akhirnya menimbulkan masalah apabila wanita itu menghadapi kesulitan untuk membuat tuntutan wang selepas kematian suaminya.

Hubungan yang tidak mendapat restu orang tua menjadi alasan pasangan dari Malaysia memilih untuk bernikah di selatan Thailand.

Namun, kebanyakan dari mereka menghadapi masalah apabila perkahwinan itu tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia.

Di TikTok, viral kisah pasangan tempatan yang mengalami masalah kerana gagal mendaftarkan perkahwinan mereka selepas 28 tahun bersama.

“Bahananya nikah Siam tak didaftar. Nangis tak berlagu. Selepas 28 tahun baru terasa untuk daftar di Malaysia.

Wanita gagal tuntut KWSP arwah suami untuk faraid hanya kerana terlepas pandang 1 perkara ini

“Tu pun sebab anak nak nikah. Tiba-tiba proses, nikah tak sah. Sijil nikah pun palsu. Itulah sebabnya penting untuk daftar perkahwinan di Malaysia selepas kahwin di Thailand,” tulis di akaun TikTok itu.

Perkongsian ini mendapat pelbagai reaksi dari netizen termasuk mereka yang pernah berkahwin di selatan Thailand.

Menurut seorang wanita lain, dia dan suaminya tidak pernah mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia selepas 15 tahun bersama.

“Saya salah seorang yang kahwin di Narathiwat. Sudah kahwin selama 15 tahun, tapi tak pernah daftar di Malaysia. Alhamdulillah, anak-anak semua ada sijil kelahiran.

“Tetapi apabila suami meninggal dunia, saya tidak dapat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beliau. Saya terpaksa pergi ke Narathiwat untuk mendapatkan sijil nikah.

“Saya juga perlu ke Songkhla untuk mendapatkan pengesahan perkahwinan. Saya menguruskan semua ini sendiri. Dalam tempoh dua minggu, saya pergi ke Thailand dua kali,” kongsinya.

Selepas pulang ke Malaysia, wanita itu perlu menunggu proses mahkamah sebelum masalahnya dapat diselesaikan.

“Kos pergi ke Thailand sebanyak RM1,200. Kemudian ada denda yang perlu dibayar. Di hadapan hakim, saya mengaku salah dan berjanji untuk tidak mengulangi lagi.

“Hakim memarahi saya pada masa itu. Saya berasa malu menceritakan kisah ini. Saya hanya mahu membantu mereka yang memilih jalan yang salah seperti saya.

“Kahwin di sana memang mudah, tetapi menyesal di kemudian hari. Menguruskan perkara ini memerlukan banyak wang. Saya tidak tahu berapa ribu ringgit perlu dibayar sebagai denda. Tiada sebab untuk berasa bangga dengan perkahwinan di sana,” jelas wanita tersebut.

Seorang individu lain berkongsi kisahnya yang terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan kerana kedua ibu bapanya tidak pernah mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.

“Masa saya hendak nikah, saya hampir hantar borang ke pejabat agama. Tiba-tiba mereka memberitahu bahawa perkahwinan ibu bapa saya tidak didaftarkan di Malaysia.

“Saya terpaksa ke mahkamah untuk mendaftarkan. Majlis perkahwinan terpaksa ditangguhkan berbulan-bulan. Nasib baik sijil nikah ibu bapa sah, hanya tidak didaftar di Malaysia,” tulis individu tersebut.

BACA: “Sampai giliran aku, suami mengadu hal madu, ingat aku nak dengar agaknya, padan muka! sapa suruh kahwin dua”