Siapa sangka, seorang wanita mampu menjana keuntungan melebihi RM430,000 dengan ‘bekerja’ sebagai pengantin baharu tanpa pengetahuan suaminya.
Melangsungkan perkahwinan dengan tiga lelaki pada masa yang sama, ibu kepada seorang anak perempuan itu rupanya sudah mendirikan rumah tangga secara sah.
Namun wanita berkenaan berjaya menyembunyikan hal tersebut dari suami sahnya berikutan lelaki itu sibuk menjalankan perniagaan selain jarang pulang ke rumah.
Wanita itu juga akan menggunakan nama palsu sepanjang berhubungan dengan tiga pemuda selama beberapa bulan sebelum meminta mereka untuk mengahwininya.
Bagi mengelakkan perkahwinannya bersama ketiga pemuda itu didaftarkan, wanita tersebut akan berbohong dengan mengatakan dia perlu kekal bujang secara rasmi.
Sangat licik, wanita berkenaan menipu suami-suami baharunya kononnya bantuan kerajaan yang diterimanya akan terhenti sekiranya dia tidak lagi berstatus ‘bujang’.
Walau bagaimanapun, wanita berusia 36 tahun itu tetap mahu majlis resepsi mereka diadakan supaya hadiah, wang ‘angpao’ atau duit ‘salam kaut’ dapat dikumpulkan.
Memetik laporan South China Morning Post, wanita bernama Zhou itu telah berjaya memperoleh wang 660,000 yuan (sekitar RM430,744.00) dari ketiga-tiga suaminya.
Zhou difahamkan akan menggunakan alasan diberi tugas bekerja di luar kawasan ketika mengunjungi ke kediaman ketiga-tiga suami baharunya itu mengikut giliran mereka.
Taktik licik Zhou akhirnya berjaya dihidu apabila wanita itu meminta wang daripada salah seorang suaminya konon untuk menampung kos kelahiran anak mereka kelak.
Suami tidak sah yang bernama Zhang itu kemudian mengunjungi kampung ibu bapa Zhou untuk melihat bayi kembar yang kononnya telah selamat dilahirkan di hospital.
Zhang yang mula mengesan kejanggalan pada doktor iaitu pelakon upahan isterinya itu memutuskan untuk melakukan siasatan berhubung latar belakang sebenar Zhou.
Selepas mengetahui perkara sebenar, Zhang tampil membuat laporan polis sebelum satu pertuduhan jenayah difailkan terhadap Zhou yang membawa hukuman penjara 10 tahun kerana melakukan penipuan.
Suami sah Zhou juga membuat keputusan untuk bercerai dengan wanita yang berasal dari daerah Jiangsu, timur China itu pada bulan April, tahun lalu sebaik sahaja kegiatannya dibongkarkan kepada pengetahuan umum.
Baca juga: Biodata Johan Ghazali dan kenapa dia minat sangat dalam sukan Muay Thai