Wanita kantoi sorok ratusan peluru dalam periuk nasi. Penduduk di Jalan Natuna, Ilir Barat I, Palembang, Sumatera Selatan dikejutkan dengan insiden seorang wanita membawa ratusan peluru hidup yang disimpan dalam periuk nasi.
Unit Siasatan Jenayah Polis Palembang Ilir Barat I, Apriansyah berkata, suspek ditahan oleh seorang penunggang lain selepas berasa curiga semasa menunggang motosikal, Isnin lalu.
Katanya, penunggang tersebut mendekati motosikal CH dan membuka periuk nasi yang dibawa wanita itu.
“Setelah dibuka, suasana bertukar kecoh selepas ratusan peluru hidup didapati disimpan dalam periuk nasi.
“Setelah dikira terdapat 135 butir peluru kaliber berukuran sembilan milimeter,” katanya lapor Kompas.com.
Wanita yang dikenali sebagai CH, 47, akhirnya ditahan polis Palembang bagi soal siasat berhubung pemilikan ratusan butir peluru tersebut.
Menurut Apriansyah, hasil pemeriksaan mendapati ratusan peluru itu merupakan milik suami CH yang meninggal dunia, dua tahun lalu.
Jelasnya, CH mengaku membawa peluru itu kerana sedang menunggu suami dan keluarganya.
“Kita syak wanita ini mengalami tekanan kerana ketika sesi soal siasat, jawapannya banyak mengarut.
“Cakap tunggu suami sedangkan sudah meninggal dunia. Peluru itu adalah kepunyaan suaminya yang merupakan ahli perniagaan,” katanya.
Difahamkan, sejak kehilangan suami, CH tinggal bersendirian di Sukarame, Palembang.
Mengikut keterangan jirannya, wanita itu sering mengambil ubat penenang akibat depresi selepas kematian suami.
“Kita sudah menggeledah rumah CH, tiada barang lain yang mencurigakan,” katanya.
Apriansyah memutuskan CH bukan anggota pengganas yang akan melancarkan serangan di lokasi tertentu kerana tidak menemukan sebarang objek berkaitan organisasi pengganas.
BACA:
‘Selamat tinggal WhatsApp’ – tiada lagi aplikasi ini tahun depan di handphone jenis ini