Wanita mengamuk pecah cermin kereta ada plot twist, rupanya kes sambung bayar

Oleh ISMAIL YAHYA

Sebuah video yang menunjukkan seorang wanita memecahkan cermin sebuah kereta menggunakan batu menjadi perbualan hangat di media sosial.

Dalam video tersebut, seorang lelaki juga dilihat menggunakan besi untuk merosakkan kereta yang sama.

Video yang dikongsi menunjukkan ejen penarik kenderaan sedang menunggu di hadapan rumah wanita itu.

Menurut pengguna Facebook bernama Rasis Jalil, individu dalam video tular tersebut mendakwa bahawa mereka dianiaya oleh pemilik kereta yang sebenar.

“Dikatakan kereta ini dibeli secara sambung bayar. Keluarga ini sudah membayar secara bulanan, tetapi pemilik asal tidak membayar kepada bank.

Wanita mengamuk pecah cermin kereta ada plot twist, rupanya kes sambung bayar

Puas sudah pesan supaya jangan beli kereta sambung bayar,” tulisnya.

Rasis Jalil berkongsi video tersebut di laman Facebook pada hari Selasa.

Di ruangan komen, seorang individu dikenali sebagai Luqman Hakim turut membincangkan hal yang sama, mendakwa keluarga tersebut dianiaya oleh pemilik asal kereta itu.

“Cerita mereka, keluarga ini beli kereta sambung bayar. Setiap bulan bayar penuh kepada pemilik, tetapi pemilik tidak bayar kepada bank. Sudah tertunggak sampai lapan bulan.

“Ketika keluarga ini membeli, mereka sudah bayar deposit. Jadi apabila tahu (ansuran) kereta tidak dibayar kepada bank sedangkan mereka sudah membayar kepada pemilik, mereka merosakkan kereta itu.

“Jadi, mereka rasa rugi kerana sudah bayar deposit dan ansuran bulanan, tetapi akhirnya kereta mereka ditarik,” tulis Luqman Hakim.

Seorang lagi pengguna Facebook bernama Wan Firdaus berkata kejadian itu pasti akan menyusahkan pemilik asal kereta tersebut.

“Dia berjaya menyusahkan hidup pemilik asal. Kereta ini sambung bayar, dan semakin jatuh nilai kereta itu, semakin banyak kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pemilik asal.

“Individu dalam video itu marah kerana nama dia tiada dalam geran dan pinjaman bank,” tulis Wan Firdaus.

Walaupun terdapat penjelasan mengenai situasi tersebut, ramai netizen tetap mengecam tindakan ganas yang dipamerkan dalam video tular itu.

BACA: Rasuah dalam pemilihan parti, kepincangan dalam Bersatu makin membarah