Pelbagai insentif, bantuan, dan subsidi telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat dalam tempoh ini.
Walau bagaimanapun, terdapat individu yang kelihatan mengambil kesempatan dengan memanipulasikan pendapatan sebenar
atau maklumat ahli keluarga untuk ‘melayakkan’ diri menerima bantuan kerajaan.
Mendedahkan situasi yang berlaku dalam kalangan keluarga terdekat, seorang wanita melaporkan bahawa masih terdapat individu yang mengambil wang bantuan yang didaftarkan atas nama seseorang yang sudah meninggal dunia.
“Walaupun seorang individu (seorang tua berusia 80 tahun) telah meninggal dunia atau ditemui hilang di hutan pada tahun 2021, tetapi kematian beliau tidak pernah dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Wang Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan kebajikan masih terus dimasukkan ke dalam akaun beliau (yang telah meninggal),” dakwa wanita tersebut.
Wanita tersebut turut menyatakan bahawa lebih mengejutkan lagi, wang bantuan yang diterima sehingga kini masih digunakan oleh ahli keluarga individu tersebut.
“Anaknya telah menggunakan duit itu sejak kehilangan beliau dahulu hingga sekarang. Nenek itu tidak mempunyai anak yang menjaga, dan ahli keluarga yang memegang kad ATMnya tidak tinggal di bawah satu bumbung dengan beliau,” katanya.
Wanita tersebut juga menceritakan bahawa laporan polis mengenai kehilangan warga emas tersebut pernah dibuat, dan operasi mencari dan menyelamat telah dilakukan pada masa itu. Walau bagaimanapun, selepas lebih dua minggu, pencarian tidak memberikan hasil.
“Pihak polis telah mencadangkan keluarganya untuk mendaftarkan kematian selepas hanya pakaian yang ditemui. Tetapi sehingga hari ini, masih tiada yang membuat laporan berkaitan,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, wanita ini turut menyatakan bahawa ahli keluarga individu terbabit enggan membuat sebarang laporan berkaitan atau mendaftarkan kematian dengan alasan proses tersebut sukar dan memakan masa.
Melihat komen-komen dalam ruangan tersebut, warga maya menggalakkan wanita tersebut untuk menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan melaporkan situasi tersebut agar tindakan susulan dapat diambil.
“Cuba tanya JKM kalau mereka boleh buat welfare check nak dapatkan pengesahan kematian perlu perintah mahkamah melainkan jasad ditemui atau disahkan jasad orang hilang… ada tempoh tahun untuk pengesahan kematian.
“Kalau pihak berkuasa tahu, banyak kesalahan tu. Penipuan, menyembunyikan kematian dan pecah amanah.
“Boleh terus datang ke pejabat JKM yang didaftarkan penama. Maklumkan situasi sebenar dan pegawai yang bertanggungjawab akan melaksanakan siasatan serta menamatkan bantuan,” ujar beberapa warga maya.