Siapa sangka, seorang wanita tergamak menamatkan riwayat anak tiri hanya kerana sikap suaminya yang lebih menyayangi kanak-kanak terbabit berbanding anaknya.
Jasad kanak-kanak yang berusia enam tahun itu kemudian dibungkus dengan plastik sebelum dimasukkan ke dalam guni dan diletakkan di celah dinding belakang rumah.
Sehari sebelum kejadian, kanak-kanak malang itu sempat dikunci di luar rumah oleh ibu tirinya dalam keadaan hujan lebat selepas balik dari sekolah pada 19 Ogos lalu.
Keesokkan harinya, barulah wanita berkenaan membawa kanak-kanak yang sudah lemah itu masuk ke dalam rumahnya sekitar pukul 11 pagi dan menyuruhnya mandi.
Wanita itu bagaimanapun tidak dapat menahan sabar apabila melihat kanak-kanak terbabit berjalan terhuyung-hayang sebelum bertindak menolaknya di depan tandas.
Tindakan tersebut menyebabkan mangsa terjatuh dan kepalanya terhantuk di jubin lantai tandas dalam kejadian yang berlaku di daerah Pontianak Selatan, Kalimantan Barat, Indonesia itu.
Mangsa kemudian dimandikan oleh ibu tirinya sebelum disuruh duduk di ruang depan televisyen namun kanak-kanak itu membaringkan badannya mungkin kerana terlalu lelah.
Walaupun menyedari keadaan kanak-kanak itu, wanita terbabit tetap tidak memberi anak tirinya makan semalaman sebaliknya hanya menghulurkan minuman sambil memarahinya.
Mangsa dikatakan semakin lemah ketika waktu Asar namun tidak dihiraukan oleh ibu tirinya yang sedang menyusukan dan menidurkan bayi iaitu anak kandungnya di ruangan lain.
Selepas menidurkan anak keduanya, wanita itu kembali ke ruangan tersebut sebelum melihat mangsa seperti susah bernafas lalu bertindak memberi bantuan pernafasan.
Mangsa sempat bernafas seperti biasa namun kembali sesak lalu menghembuskan nafas terakhirnya sebelum ibu tirinya sempat memberi bantuan pernafasan kedua.
Selepas mendapati anak tirinya sudah tidak bernyawa, wanita terbabit sempat panik sebelum mengheret jasad kanak-kanak itu ke halaman belakang, lapor Trends.tribunnews.com.
Wanita itu kemudian mendapatkan plastik sampah dan guni lalu kembali ke halaman belakang rumah untuk membungkus jasad mangsa yang sudah tidak bernyawa lagi.
Khuatir jenyahnya terbongkar, guni berisi jasad mangsa itu diseret semula sebelum dimasukkan ke dalam celah antara dinding belakang rumah dengan kediaman jirannya.
Bapa mangsa hanya pulang ke rumah pada 21 Ogos selepas bekerja di luar daerah dan terus menyedari anaknya hilang ekoran kanak-kanak itu selalu menjemputnya dengan membuka pintu kediaman.
Ketika ditanya, isterinya mengaku mangsa sebenarnya dijemput oleh dua lelaki yang dikatakan disuruh oleh ibu kandung kanak-kanak terbabit untuk membawanya pergi.
Namun selepas bekas isterinya menafikan perkara itu, sang bapa yang menyangka anaknya diculik segera pergi ke balai polis untuk membuat laporan bersama pelaku.
Bagaimanapun keesokan harinya, sang bapa dikenali sebagai Inchan itu menerima panggilan dari mentua memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia dan jasadnya berada di sekitar rumah.
Selepas seharian mencari jasad anaknya namun tidak dapat ditemukan, Ichan pergi ke halaman belakang rumah dan menyedari ada bau busuk di sekeliling tempat itu.
Akhirnya jasad kanak-kanak terbabit ditemukan oleh bapanya sendiri dan lelaki itu membawa isterinya ke balai polis untuk disoal siasat mengenai kejadian tersebut.
Difahamkan, rasa cemburu melihat suaminya lebih menyayangi mangsa berbanding anak mereka sendiri telah menjadi punca wanita itu melampiaskan kemarahannya kepada kanak-kanak terbabit.
Baca juga: ‘Weh, mak dah mati ni..Duit mak RM6000 transfer kat aku sekarang..’