Setiap kali tibanya musim perayaan, kita semua sedia maklum ramai yang akan berkongsi rezeki dengan mengadakan rumah terbuka.
Biasanya, program rumah terbuka sempena Aidilfitri ini akan bermula sekurang-kurangnya pada raya kedua sehinggalah genap 30 hari Syawal.
Begitu juga di sekolah, guru-guru bersama anak murid masing-masing juga tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka atau jamuan raya bersama-sama.
Jadi, pasti ramai ibu bapa sedang memikirkan menu terbaik untuk jamuan hari raya anak masing-masing di sekolah, kan?
Kebiasaannya, jamuan raya di sekolah ini sudah ditetapkan tarikhnya, manakala konsep jamuan pula adalah secara potluck.
Setiap murid akan hadir ke jamuan tersebut dengan membawa makanan masing-masing daripada rumah untuk dimakan bersama-sama.
Selain kuih raya, antara menu yang biasa dibawa adalah nasi goreng, mi goreng, kuih-muih dan pelbagai aneka masakan.
Pada hari jamuan, mereka akan mengenakan baju raya dan meraikan jamuan tersebut dengan berkongsi juadah yang dibawa. Namun begitu, adakalanya juadah masih berbaki walaupun jamuan raya sudah pun tamat.
Sebagai penyelesaiannya, guru-guru akan meminta anak murid masing-masing untuk bertukar-tukar makanan yang berbaki untuk dibawa pulang.
Baru-baru ini, seorang wanita memuat naik satu video ke TikTok yang berkongsi situasi lucu yang berlalu selepas anaknya membawa pulang makanan daripada jamuan raya di sekolahnya.
Menerusi video berkenaan, @cyaiela hilang kata-kata apabila mendapati anaknya mencampurkan semua makanan yang ada dalam satu bekas.
Dapat dilihat dalam bekas makanan berkenaan berisi juadah seperti nasi goreng, bihun goreng, buah-buahan serta kek.
Tidak dapat tidak, si ibu tetap dilihat cuba menjamah makanan yang dibawa pulang anaknya pada hari tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok berasa terhibur video yang dikongsikan oleh wanita itu.
Dalam masa sama, para ibu turut berkongsi kisah yang hampir sama apabila si anak membawa makanan berlebihan pulang ke rumah.
“Anak saya campur spaghetti carbonara. Atas spaghetti tu letak roti jala dan kuah kari,” komen seorang wargamaya.
“Relate sangat ni… geram je buka bekal balik jamuan raya. Dia ingat kita ayam ke apa haha,” komen seorang lagi wargamaya.