Wanita tinggalkan kedai nasi ayam pilih bulu layan pelanggan

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Pelanggan yang dilayan dengan baik bukan sahaja akan berpuas hati, malah berpotensi menyebarkan pengalaman positif mereka kepada orang lain

, sekali gus menarik lebih ramai pelanggan. Namun, layanan yang tidak mesra dan pengabaian aspek penting lain boleh memberikan impak negatif kepada perniagaan.

Sebuah kisah tular di media sosial baru-baru ini memaparkan pengalaman seorang wanita yang kecewa dengan layanan seorang peniaga nasi ayam di selatan tanah air.

Menurutnya, ketika ingin membuat pesanan, pemilik kedai itu hanya menjerit dari jauh untuk bertanya

sama ada sudah bersedia memesan makanan. Walaupun wanita itu menjawab “boleh,” peniaga itu enggan bangun dari tempat duduk dan menyuruh pelanggan datang kepadanya kerana katanya dia sedang sibuk.

Wanita tinggalkan kedai nasi ayam pilih bulu layan pelanggan

“Saya faham kalau kedai sibuk atau penuh, tapi masa itu kedai belum ramai pelanggan,” luah wanita tersebut.

Namun, apa yang benar-benar mengecewakannya adalah ketika empat pelanggan lain tiba, pemilik kedai itu tiba-tiba berubah sikap. Dia bangun, mengambil kertas pesanan, dan melayani mereka dengan sopan.

“Dalam hati saya kata, kalau dia bangun untuk ambil pesanan mereka, memang saya akan bersuara. Ternyata betul, dia bangun dan terus melayan mereka,” jelasnya, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan pilih kasih itu.

Wanita itu akhirnya bertanya terus kepada peniaga tersebut, tetapi hanya menerima jawapan sinis yang menambah kekecewaannya.

“Saya tak mahu gaduh, jadi saya ajak anak-anak makan di tempat lain. Tapi, saya tekad tak akan kembali ke kedai itu lagi,” katanya.

Reaksi Netizen
Kisah ini mendapat perhatian ramai, dengan rata-rata netizen mengecam tindakan peniaga tersebut.

“Memang tak patut. Kalau sistem kedai suruh pelanggan order di kaunter, itu lain cerita. Tapi ini memang servis di meja. Malas sangat nak bangun,” komen seorang pengguna.

“Ada kedai di kawasan saya pun macam ini. Pelanggan yang nampak kaya dilayan sendiri oleh pemilik kedai, yang biasa-biasa pula diserahkan pada staf,” tambah netizen lain.

Pengalaman seperti ini menunjukkan betapa pentingnya memberikan layanan mesra kepada semua pelanggan tanpa pilih kasih.

Sikap peniaga yang tidak profesional bukan sahaja menyebabkan pelanggan tetap berpaling, tetapi juga boleh menjejaskan reputasi perniagaan dalam jangka panjang.

BACA: Pantai timur mula dinaiki air, ini 7 persediaan banjir patut buat