Whatsapp tangguh update lepas dapat reaksi negatif pengguna

Whatsapp tangguh update lepas dapat reaksi negatif pengguna

Selepas menerima reaksi negatif, aplikasi WhatsApp menangguhkan kemas kini yang meminta penggunanya untuk menerima terma baharu.

Pengumuman oleh aplikasi yang dimiliki Facebook itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan pengguna bahawa kemas kini tersebut akan melonggarkan syarat-syarat privasi.

Pada awal Januari, pengguna WhatsApp menerima makluman bahawa aplikasi tersebut dalam proses menyediakan terma-terma baharu serta mempunyai hak untuk berkongsi beberapa data pengguna dengan aplikasi Facebook.

Susulan itu, bilangan pengguna baharu aplikasi lain seperti Signal dan Telegram menyaksikan peningkatan mendadak.

Pada Jumaat, WhatsApp mengumumkan bahawa terma baharu itu akan ditangguhkan dari Februari ke Mei.

Jelas aplikasi itu juga, kemas kini tersebut bertujuan untuk meningkatkan transaksi dengan akaun perniagaan, dan tidak menjejaskan perbualan peribadi yang masih dilindungi dengan ciri penyulitan (encryption).

“Kemas kini ini tidak membolehkan kami berkongsi data dengan Facebook.

“Walaupun bukan semua melakukan transaksi dengan perniagaan menerusi WhatsApp sekarang, namun kami percaya lebih ramai akan memilih cara ini pada masa akan datang dan ia penting bagi orang ramai menyedari tentang fungsi ini,” kata WhatsApp dalam satu kenyataan.

Facebook telah memperkenalkan beberapa ciri-ciri memfokuskan kepada akaun perniagaan pada aplikasi WhatsApp sepanjang tahun lepas bagi menyelaraskan insfrastruktur e-dagang di seluruh syarikat itu, termasuk pada aplikasi Instagram. – AA