Baru sebulan Kerajaan Pakatan Nasional memerintah, dah beberapa anggota Pegawai Kerajaan dan Penjawat Awam telah menjadi mangsa di kambing hitamkan oleh mereka yang bernafsu menjadi Menteri tetapi tidak mahu memikul tanggungjawab yang sepatutnya. Pangkat dan kedudukan mesti di sertai dengan rasa tanggungjawab dalam memikul kelemahan dan kelebihan kementerian masing masing. Apa yang berlaku ialah isu yang berpotensi baik dan glamour di terima pujian oleh Menteri sendiri tetapi yang negatif dan menjadi liabiliti disalahkan kepada pegawai kerajaan semata mata seolah tiada tanggungjawab bersama (collective responsibility).
Apabila kontroversi Menteri Besar dan Ketua Menteri 5 negeri pembangkang dari PH yang mewakili 40 % rakyat Malaysia tidak di jemput Mesyuarat Nasional penting wabak Covid-19 timbul, yang di jadikan kambing hitam insiden tersebut adalah Ketua Setiausaha Negara (KSN). Ramai susah nak percaya ia berlaku tanpa arahan tertentu dari pihak atasan dan ramai turut bersimpati dengan KSN yang merupakan pegawai yang bersikap profesional dan berpengalaman kerana beliau di kambing hitamkan. Sukar untuk anak kecil pun mempercayai satu arahan yang begitu penting tidak datang dari pihak atasan.
Tidak lama selepas itu, timbul pula isu kebenaran Kilang arak Heineken di benarkan beroperasi semasa tempoh PKP yang di kaitkan dengan surat di tandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP). Kononnya Menteri dan Timbalan Menteri Kementerian berkenaan tidak terlibat atau tidak tahu menahu keputusan tersebut. Sekali lagi pegawai Kerajaan di kambing hitamkan. Bukan itu sahaja, kelulusan lesen kilang arak ini juga terletak di bawah kuasa Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) yang juga mempunyai Menteri dan Timbalannya sendiri. Bagaimana ia boleh terlepas pandang oleh 2 Menteri dan 2 Timbalan Menteri di bawah 2 Kementerian? Susah untuk dipercayai rakyat yang ia adalah satu kesilapan.
Adakah alasan yang sama boleh di terima atas tindakan tidak menjemput 5 Negeri untuk Mesyuarat Covid-19 di Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai beberapa orang Menteri lain di bawah Perdana Menteri sendiri? Apa gunanya kita mempunyai 70 Menteri dan Timbalan kalau keputusan penting kononnya di biarkan hanya kepada Pegawai Kerajaan? Adakah kita mementingkan kuantiti, dan bukannya mutu menteri-menteri yang ada hari ini? Atau benarkah anggapan rakyat jawatan 70 Menteri adalah sebagai ganimah atau habuan rampasan kuasa penubuhan kerajaan melalui pintu belakang?
Ada cadangan dari PAS untuk mengadakan Jawatankuasa Hisbah untuk memantau prestasi menteri. Oleh kerana PAS dari dahulu bersemangat untuk mengharamkan pesta arak dan memantau perniagaan arak, kenapakah mereka tidak menegah perkara ini dari berlaku? Hanya selepas hampir 3 minggu baru isu ini suarakan. Itu pun hanya setelah ianya didedahkan oleh pihak pembangkang. Adakah mereka bersetuju pegawai kerajaan patut di kambing hitamkan oleh Kerajaan PN dalam 2 isu utama diatas ini? Saya percaya majoriti rakyat Malaysia dan sebahagian besar pegawai serta penjawat awam tidak boleh menerima segala keburukkan di longokkan keatas kepala pegawai kerajaan. Sementara segala yang harum dan indah adalah atas kecemerlangan menteri semata-mata.
Setelah Menteri Kesihatan membuat kenyataan yang mengelirukan rakyat dalam isu wabak Covid-19, beliau telah hilang dari radar dan tidak lagi muncul lagi di layar media nasional. Yang muncul siang dan malam di media rasmi kerajaan adalah Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan, Dato Dr. Noor Hisham Abdullah yang telah memikul tanggungjawab dengan cemerlang tanpa tahu penat lelah. Di mana hilangnya Menteri dan timbalannya yang dua lagi? Kalau beginilah situasinya hari ini, sudah jelas 70 orang Menteri Malaysia sekarang tidak menjalankan tangggungjawab dengan baik. Mereka perlu menukar sikap hanya yang baik mereka mahu menerima pujiannya dan yang negatif dipersalahkan kepada pegawai kerajaan.
Nampaknya sikap kerajaan PN hari ini ialah segala yang baik dan cantik datang dari ahli politik, yang buruk itu datang dari pegawai kerajaan. Ini adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan tidak seharusnya ada dalam diri individu untuk memimpin negara kita yang menghadapi krisis global hari ini.
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Sumber :