Yeo Bee Yin saman Jamal RM5 juta, jalani perbicaraan penuh

Yeo Bee Yin saman Jamal RM5 juta, jalani perbicaraan penuh

Saman fitnah yang dikemukakan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin terhadap Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) akan menjalani perbicaraan penuh.

Peguam Mohammed Nasser Yusof yang mewakili Jamal berkata, ini kerana kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat menerusi proses pengantaraan.

Beliau berkata, bagaimanapun mahkamah belum menetapkan tarikh perbicaraan dan kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff pada 21 April namun tarikh itu telah dikosongkan.

“Saya menerima satu e-mel daripada mahkamah semalam yang memaklumkan bahawa ia telah menetapkan 24 Jun sebagai pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemas kini mahkamah mengenai perkembangan kes itu dan untuk menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya kepada Bernama melalui mesej di aplikasi WhatsApp.

ARTIKEL BERKAITAN:Jamal tarik balik permohonan bicara bersama kes dua bekas menteri

Pada 14 Jun 2017, Bee Yin memfailkan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta daripada Jamal yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung penyalahgunaan dana Yawas.

Dalam pernyataan tuntutan, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan tersebut telah disiarkan oleh beberapa akhbar, portal berita serta di laman sosial Facebook milik Jamal.

Bee Yin mendakwa kenyataan itu, antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan merupakan seorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, Bee Yin memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi kenyataan tersebut. –

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/80993/BERITA/Mahkamah/Saman-fitnah-Bee-Yin-terhadap-Jamal-akan-jalani-perbicaraan-penuh