Seorang bekas ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta isterinya telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini
Atas tuduhan menyalahgunakan kuasa dan mengemukakan tuntutan palsu berhubung agihan zakat hampir RM20,000.
Datuk Mohamad Zahari Harun, 64 tahun, dan isterinya, Lydia Irmawati Mahmud, 41 tahun, membuat pengakuan tersebut
selepas pertuduhan kesalahan yang didakwa dilakukan antara 2019 hingga 2021, dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mohamad Zahari didakwa menggunakan kedudukannya dengan melibatkan diri dalam membuat keputusan melantik
syarikat Amcare Agency sebagai ejen kutipan zakat pada Mesyuarat Jawatankuasa Zakat MAIDAM kali keempat 2019, dengan syarikat itu dimiliki oleh isterinya.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 September 2019 di Pejabat MAIDAM di sini di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang membabitkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.
Sementara itu, Lydia Irmawati yang juga pemilik syarikat itu menghadapi lapan pertuduhan menipu dalam bayaran balik bahagian fakir miskin kepada MAIDAM berjumlah hampir RM20,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi yang sama antara Disember 2020 sehingga Disember 2021.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mohamad Zahari dan isterinya masing-masing diikat jamin RM7,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kedua-dua tertuduh dikenakan syarat tambahan seperti tidak mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport serta melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan sepanjang prosiding berlangsung.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Azrul Zulkifli Stork.