Zaman Madani, buang sampah merata-rata pun akan dihukum

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengumumkan bahawa individu yang didapati bersalah membuang sampah sembarangan

akan dikenakan hukuman berbentuk khidmat masyarakat sebagai langkah tegas untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar.

Menurut Nga, hukuman khidmat masyarakat seperti mencuci longkang, menyapu sampah di kawasan awam, atau membersihkan tandas awam akan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah.

Langkah ini bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah, berbanding hanya mengenakan kompaun yang mudah dibayar.

“Kenaikan kadar kompaun mungkin tidak memberi kesan jangka panjang kerana pesalah boleh membayar denda dan mengulang kesalahan yang sama.

Zaman Madani, buang sampah merata-rata pun akan dihukum

Tetapi apabila mereka dipaksa menjalankan khidmat masyarakat, mereka akan merasai akibat perbuatan mereka dan lebih berhati-hati di masa depan,” jelas Nga.

Tambahnya, hukuman ini akan ditentukan sepenuhnya oleh pihak mahkamah, dan jika seseorang pesalah dikenakan hukuman seperti menyapu jalan selama empat hari, mereka wajib melaksanakannya tanpa pengecualian.

Pada bulan November lalu, Nga turut memaklumkan bahawa pindaan rang undang-undang (RUU) bagi melaksanakan hukuman khidmat masyarakat untuk kesalahan pembuangan sampah kecil dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Mac depan. Pindaan ini bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan kebersihan dan pengurusan sisa.

Nga juga menjelaskan bahawa hukuman khidmat masyarakat ini akan dikuatkuasakan melalui RUU Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Pindaan ini akan menambah seksyen khusus bagi menghukum pesalah yang membuang sampah sembarangan, selain memberi kesedaran kepada masyarakat untuk lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.

Dengan langkah ini, pihak kerajaan berharap agar orang ramai lebih peka terhadap pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar dan tidak lagi menganggap pembuangan sampah merata-rata sebagai perkara biasa.