12 daripada 13 bahagian Umno di Kelantan kemuka usul desak putus kerjasama dengan Bersatu

12 daripada 13 bahagian Umno di Kelantan kemuka usul desak putus kerjasama dengan Bersatu

Sebanyak 12 daripada 13 UMNO bahagian di negeri ini sebulat suara mengemukakan usul mendesak parti memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan mengambil kira suara akar umbi yang menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang yang dirasmikan beliau di Pusat Transformasi Ilmu di Bukit Tiu di sini pada Ahad.

Ahmad Jazlan berkata, selain itu mereka juga sepakat mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam suku pertama tahun ini bagi menyerahkan mandat kepada rakyat.

Beliau berkata, sekiranya PRU15 tidak diadakan dalam masa terdekat, ahli Parlimen UMNO mestilah menarik sokongan kepada kerajaan sedia ada.

Usul ketiga pula ialah mereka mencadangkan supaya kerjasama antara UMNO dan Pas perlu dikaji semula berdasarkan sikap Pas yang tidak mengutamakan hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

“Kami juga mencadangkan agar semua kerusi Parlimen yang dimenangi oleh UMNO pada PRU14 perlu dikekalkan dan ditandingi oleh UMNO pada PRU15 nanti,” katanya.

Sehingga Ahad, semua 13 bahagian parti itu mengadakan mesyuarat serentak.

Hanya satu bahagian yang digantung iaitu Tanah Merah, manakala satu bahagian lagi iaitu Ketereh mengemukakan usul yang berbeza daripada 12 bahagian lain.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/117446/BERITA/Semasa/12-UMNO-bahagian-di-Kelantan-desak-putuskan-hubungan-dengan-Bersatu